Puan Nor Aini Mohamed
Pegawai Tadbir (Penyelidik Sosial)
Ruang selamat boleh ditakrifkan sebagai satu ekosistem interaksi yang menyediakan sokongan moral dan fizikal, di mana individu merasa bebas untuk mengekspresikan diri tanpa rasa takut akan kegagalan atau kritikan yang menjatuhkan. Bagi golongan muda, persekitaran berisiko rendah ini amat kritikal untuk mereka menguji keupayaan komunikasi dan kolaborasi. Kesilapan yang berlaku dalam ruang ini dianggap sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran yang selamat, dan maklum balas pula lebih mudah diuruskan secara positif.
Ruang selamat ini turut memperkasa rasa kepunyaan dan hubungan sesama individu, dua elemen yang menjadi teras kepada penglibatan sosial dan pembentukan hubungan yang baik. Dalam konteks ini, aktiviti berstruktur dan program luar sekolah terbukti berkesan kerana mampu menawarkan persekitaran yang selamat dari segi fizikal mahupun emosi. Impaknya, suasana sebegini akan menyuburkan rasa saling mempercayai, membolehkan ekspresi diri yang sebenar, dan melahirkan hubungan interpersonal yang lebih mendalam.
Kesan positif ini dapat dijelaskan melalui beberapa mekanisme yang saling berkait. Pertama, keselamatan psikologi (psychological safety) menggalakkan ekspresi diri, empati, dan pembinaan kepercayaan, di mana individu berasa cukup selamat untuk meluahkan pemikiran dan perasaan tanpa rasa takut dinilai secara negatif. Ruang selamat membolehkan golongan muda meluahkan identiti dan idea mereka tanpa berasa terancam atau diintimidasi. Ini sekali gus menyediakan asas yang kukuh untuk perkembangan hubungan sosial yang lebih sihat dan bermakna (Boat et al., 2024).
Kedua, latihan berstruktur (structured practice) membina kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, dan kolaborasi melalui aktiviti yang dirancang secara sistematik. Sebagai contoh, dalam kalangan belia, perkara ini dapat dilihat melalui aktiviti simulasi peranan (role-play) dalam permainan atau program bengkel kepimpinan, di mana setiap peserta diberikan tanggungjawab khusus untuk menyelesaikan tugasan berkumpulan secara berfasa
Ketiga, rasa kepunyaan (belonging) meningkatkan penglibatan sosial serta memperluas rangkaian sokongan dalam kalangan belia. Program Pembangunan Belia Positif (Positive Youth Development, PYD), misalnya, terbukti memupuk rasa kepunyaan dan perhubungan yang lebih erat, sekali gus membantu golongan muda membina jaringan sosial yang kukuh dan berterusan (Donovan et al., 2025).
Keempat, suasana inklusif (inclusive climate) meningkatkan tahap empati dan efikasi kendiri (self-efficay) dalam kalangan belia. Suasana inklusif bermaksud satu persekitaran yang menerima, menghargai, dan meraikan kepelbagaian individu tanpa mengira latar belakang kaum, agama, keupayaan fizikal, mahupun status sosioekonomi. Apabila belia berada dalam persekitaran sebegini, mereka lebih mudah memahami perasaan orang lain (empati) dan lebih yakin dengan kemampuan diri sendiri untuk berjaya (efikasi kendiri).
Kelima, penglibatan sosial (social participation) membangunkan kerja berpasukan, empati, serta interaksi sivik dalam kalangan belia. Penglibatan sosial merujuk kepada penglibatan aktif belia dalam aktiviti kemasyarakatan, persatuan, atau program sukarelawan. Melalui platform ini, mereka tidak lagi bergerak secara individu, sebaliknya berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat. Apabila kita bercakap tentang penglibatan sosial di dalam ruang selamat, ia bermaksud belia menyertai aktiviti kemasyarakatan atau kumpulan dalam satu persekitaran yang bebas daripada diskriminasi, kecaman, atau rasa takut dihakimi.
Di ruang selamat ini, belia bebas mengekspresikan diri, melakukan kesilapan untuk belajar, dan menyuarakan pandangan. Sebagai contoh, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia menyediakan platform seperti kumpulan sokongan rakan sebaya. Di sini, belia yang menghadapi tekanan akademik atau emosi berkumpul untuk berkongsi cerita tanpa takut dihakimi. Kumpulan ini tidak hanya mengadu, tetapi mula membincangkan kempen kesedaran kesihatan mental untuk komuniti luar. Ini merupakan langkah awal belia bertanggungjawab terhadap isu masyarakat.
Secara keseluruhannya, kelima-lima mekanisme ini, 1) keselamatan psikologi, 2) latihan berstruktur, 3) rasa kepunyaan, 4) suasana inklusif, dan 5) penglibatan sosial, saling melengkapi dalam membentuk laluan perkembangan yang menyokong pembinaan kemahiran sosial golongan muda secara holistik.
Selain memahami mekanisme di sebalik ruang selamat, penelitian terhadap konteks atau persekitaran operasinya juga amat kritikal. Hal ini kerana impak dan keberkesanan ruang selamat tersebut sangat dipengaruhi oleh latar tempat ia diwujudkan.
Dalam konteks sekolah, amalan pendekatan restoratif dan suasana bilik darjah yang inklusif berupaya memantapkan perpaduan, empati, efikasi kendiri, serta kemahiran sosial dan emosi dalam kalangan pelajar. Perkembangan ini membuktikan bahawa suasana perhubungan yang selamat amat penting bagi sekolah menyokong pertumbuhan sosial pelajar. Malah, ruang selamat di sekolah juga tidak sekadar merujuk kepada kemudahan fizikal, tetapi turut merangkumi hubungan yang saling menyokong dan dasar yang bersifat inklusif.
Ruang awam dan tempat rekreasi yang selamat dalam sesebuah komuniti amat membantu dalam mengukuhkan hubungan sosial, rasa kekitaan, dan perpaduan. Namun, jika persekitaran tersebut tidak selamat atau berasaskan keganasan, peluang untuk berhubung dan melatih kemahiran sosial akan menjadi terhad. Oleh sebab itu, golongan muda yang tinggal di kawasan berisiko tinggi amat bergantung kepada sekolah, kawasan perumahan, dan ruang santai sebagai tempat untuk mereka meraih rasa selamat, keselesaan, serta peluang untuk bergaul dengan rakan sebaya.
Di samping itu, ruang selamat di dunia digital juga sangat membantu, khususnya bagi golongan muda yang berasa terpinggir. Mereka sering menggunakan media sosial untuk berhubung dengan rakan sebaya, mencari identiti diri, dan mendapatkan sokongan moral. Walau bagaimanapun, ruang maya ini tetap mempunyai sisi negatif kerana boleh mendedahkan mereka kepada risiko diskriminasi dan rasa terasing.
Secara keseluruhannya, ruang selamat, sama ada di sekolah, komuniti, mahupun dalam talian, memainkan peranan penting dalam menyediakan konteks yang menyokong perkembangan kemahiran sosial belia. Gabungan antara mekanisme psikologi dan konteks persekitaran ini menunjukkan bahawa usaha membina ruang selamat perlu bersifat holistik, merangkumi bukan sahaja ruang fizikal, tetapi juga hubungan, dasar, dan sokongan sosial yang konsisten merentasi pelbagai konteks kehidupan golongan muda.
Tarikh Input: 27/07/2026 | Kemaskini: 27/07/2026 | alyarahim
