Sokongan Ekosistem Bantu Kepulihan Pesakit Covid-19 Dan Long Covid | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » Sokongan ekosistem bantu kepulihan pesakit Covid-19 dan Long Covid

Sokongan ekosistem bantu kepulihan pesakit Covid-19 dan Long Covid

SEHINGGA 19 April 2022, data laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan jumlah rakyat Malaysia yang dijangkiti Covid-19 ialah 4,402,234 orang.

Jumlah ini bukan sedikit dan impaknya merangkumi pelbagai sektor termasuklah sektor kesihatan, pendidikan, sosial, ekonomi, pekerjaan dan kemahiran.

Bagi sektor pendidikan, laporan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menunjukkan seramai 21,316 pelajar berhenti sekolah bagi tempoh 31 Mac 2020 hingga Julai 2021.

Ia jumlah besar untuk generasi yang bakal menjadi sebahagian daripada masa depan negara. Jumlah ini seterusnya akan mewujudkan kesan berganda kepada pelbagai isu sosial dan ekonomi.

Dalam konteks ini, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzaniam Abdul Rashid berkata, kejatuhan ekonomi Malaysia sebanyak 5.6 peratus pada tahun 2020 cukup mengesankan semua pihak dan berlarutan hingga kini.

 

Bagi mereka yang secara peribadi dijangkiti Covid-19 ia menjadi pengalaman yang tidak mahu diulang. Apa yang penting dan perlu diketengahkan ialah bagaimana membantu kepulihan pesakit Covid-19. Ini kerana proses pemulihan kepada sesetengah yang terkesan dengan jangkitan ini memakan masa agak lama.

Sebagai sebahagian daripada statistik pesakit Covid-19 di Malaysia dan mengalami 'Long Covid' yang agak lama iaitu hampir 50 hari, serta masih ada saki-baki kesan variasi Omicron, penulis merasakan perlunya kefahaman yang menyeluruh bagi membantu pesakit agar benar-benar pulih.

Ini kerana kesan daripada Covid-19 berbeza daripada seorang individu dengan individu lain dan ia boleh berubah-ubah dalam masa singkat yang mana hari ini mungkin pesakit akan rasa segar dan secara tiba-tiba malam atau esoknya, kesan seperti batuk atau sesak nafas melanda dengan agak teruk.

Keadaan yang tidak menentu seperti ini amat menuntut kefahaman, sebagai contoh, sekiranya di tempat kerja peranan majikan dan rakan sekerja sangat membantu. Manakala di rumah, kefahaman pasangan dan ahli keluarga terdekat sangat-sangat penting dalam membantu kepulihan pesakit.

Bantuan bagaimana yang diperlukan oleh pesakit 'Long Covid' ini? Kenapa penting perkara ini diketengahkan sedangkan ianya berlaku kepada kebanyakan penduduk di Malaysia?

Pada pandangan penulis, oleh kerana ramai yang mengalaminya, ada berkemungkinan ia dianggap tidak penting dan dipandang ringan akan kesan jangka panjang kepada pesakit sama ada daripada segi fizikal mahupun psikologikal.

Dalam konteks kerja, waktu kerja yang fleksibel sangat penting diberikan kepada pesakit yang mengalami kesan jangka panjang Covid-19.

Ini kerana batuk yang berpanjangan biasanya akan bertambah kerap di waktu malam dan cuaca sejuk, maka mereka yang mengalami kesan begini akan sukar tidur dan akan keletihan keesokan harinya terutama sekali waktu pagi.

Justeru waktu kerja yang fleksibel sangat penting untuk pekerja yang mengalami 'Long Covid'. Ekosistem fizikal di tempat kerja juga perlu ditambah baik yang mana pengudaraan di tempat kerja dan susun atur lebih selesa perlu diberi perhatian oleh majikan dalam memberikan suasana positif kepada bukan saja pesakit tetapi juga kepada keseluruhan pekerja di dalam organisasi.

Mereka dalam bidang kesihatan pekerjaan perlu melihat kembali sokongan kerja bagaimana yang diperlukan oleh bekas pesakit Covid-19 atau mereka yang mengalami 'Long Covid'.

Bagi ekosistem keluarga, kefahaman ahli keluarga terutama pasangan pesakit amat penting bagi membantu kepulihan pesakit.

Tugasan harian di rumah yang dulunya boleh dilakukan dalam tempoh singkat mungkin mengambil masa lama bagi pesakit.

Ini kerana mereka akan cepat penat dan memerlukan ruang masa lama untuk pulih. Mereka juga kadangkala hilang tumpuan dan sukar mengingat kembali apa yang sebenarnya sedang dilakukan.

Sekiranya ahli keluarga tidak memahami keadaan sedang dialami, sudah pasti akan menimbulkan salah faham dan berkecil hati.

Suasana ini mungkin akan berpanjangan dan mewujudkan keadaan kurang harmoni di dalam ekosistem keluarga, sedangkan pada ketika ini, sokongan individu terdekat amat penting untuk kepulihan pesakit.

Bagi pelajar sekolah ataupun penuntut di institusi pendidikan, mereka memerlukan masa untuk pulih dan memahami pembelajaran yang tertinggal sebelum ini.

Keadaan ini menyebabkan mereka bukan saja tertinggal daripada segi pembelajaran tetapi berkemungkinan mengalami keletihan yang berpanjangan dan menyebabkan proses memahami pembelajaran yang tertinggal memakan masa.

Bagi guru dan ibu bapa, sekiranya anak-anak mempunyai simptom yang disebutkan, mereka perlu memberi ruang dan peluang untuk anak-anak memahami situasi serta pulih seperti sedia kala.

Ini penting agar guru serta ibu bapa tidak terlalu mendesak anak-anak menyerlah daripada segi ilmu yang dipelajari tetapi perlu lebih menekankan kepada kepentingan suasana dan proses pembelajaran yang menggembirakan daripada berebut-rebut mendapat jumlah 'A' yang tertinggi.

Ketidakfahaman masalah ini oleh orang dewasa akan menyebabkan mereka kecewa, rendah diri dan mungkin akan berputus asa daripada terus berada di dalam sistem pendidikan negara.

Ini sudah pasti akan memberi kesan yang serius kepada generasi yang akan datang.

Secara kesimpulannya Covid-19 memberi pengajaran kepada setiap individu di muka bumi ini agar lebih menghargai serta menambahbaik ekosistem di mana mereka berada.

Ini termasuklah emosi, psikologi, fizikal, hubungan sosial, hubungan dengan alam dan hubungan dengan yang Esa.

Ini kerana kesejahteraan yang kekal adalah kesejahteraan yang meliputi semua aspek ekosistem kehidupan. Justeru, gabung jalin antara ekosistem yang kondusif serta keadaan yang memastikan ekosistem yang ada menyokong satu sama lain penting untuk kesejahteraan pesakit 'Long Covid' yang menjadi antara pesakit teramai di muka bumi ini.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial dan pensyarah di Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Dapatkan artikel ini di :

https://www.hmetro.com.my/rencana/2022/04/835721/sokongan-ekosistem-bantu-kepulihan-pesakit-covid-19-dan-long-covid

Tarikh Input: 26/04/2022 | Kemaskini: 26/04/2022 | nooryati

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXEaGAs~