WANITA TONGGAK SEJAHTERAKAN ALAM SEKITAR | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » WANITA TONGGAK SEJAHTERAKAN ALAM SEKITAR

WANITA TONGGAK SEJAHTERAKAN ALAM SEKITAR

Artikel ini telah diterbitkan dalam Berita Harian edisi 9 Mac 2020

Oleh Haliza Abdul Rahman

Kita merayakan Hari Wanita Sedunia setiap tahun, simbolik memperingati peranan wanita membangunkan dunia dan perjuangan mendapat hak serta autonomi dalam sosial, ekonomi dan politik. Wanita mewakili peratusan tinggi penduduk negara ini, iaitu 15.8 juta pada 2019.

Dengan jumlah itu, wanita berperanan melindungi dan mensejahterakan alam sekitar. Malah, pembabitan mereka dalam isu alam sekitar khususnya masyarakat akar umbi di luar bandar, komuniti Orang Asli, wanita di bawah jalur kemiskinan, ibu tunggal dan kebanyakan wanita kelas pertengahan secara fundemantalnya amat signifikan. Menyedari hakikat itu, pelbagai usaha dan strategi dibentuk bagi membabitkan wanita secara berkesan dalam proses pembangunan, termasuk mengoptimumkan peranan mereka sebagai ejen utama kelestarian alam sekitar.  Isu pengekalan kualiti alam secara lestari antara cabaran kompleks yang perlu pemantauan dan tindakan berterusan. Wanita dapat memainkan peranan ini dengan berkesan khususnya menjayakan konsep pembangunan lestari.

Sekian lama, ada hubungan rapat antara wanita dengan alam yang peningkatan pengetahuan berkaitan kelestarian alam sekitar diterjemahkan melalui sikap dan amalan seharian. Ia memberikan kesan positif kepada pembentukan komuniti lestari dan wanita antara ejen mampu membawa kesedaran ini.  Komuniti lestari berjaya memelihara nilai budaya positif, menjaga sumber alam sekitar dan dapat membentuk hubungan dengan persekitaran secara mesra alam.  Wanita dan alam semula jadi saling berkait. Lantaran itu, wujud gerakan environmentalis diterajui wanita di seluruh dunia, iaitu ekofeminisme berfungsi sebagai pusat teori, falsafah dan kaedah praktikal mencari penyelesaian permasalahan serta degradasi alam.

Peranan wanita dalam konteks pelestarian ekosistem terbukti dengan wujud gerakan seperti Chipko di India, iaitu mereka memeluk pokok sebagai aksi protes menghalang aktiviti pembalakan.  Tragedi Love Canal membabitkan pembuangan lebih 20,000 tan bahan kimia menyaksikan aktivis Lois Marie Gibbs berjaya menyuntik kesedaran dan semangat penduduk di Love Canal bangkit mendesak kerajaan Amerika Syarikat (AS) supaya memindahkan mereka jauh daripada kompaun tercemar.  Gerakan Green Belt di Kenya membawa idea penanaman semula dipraktikkan suri rumah menanam pokok di kawasan gersang. Pengasasnya, Wangari Maathai, dinobatkan Nobel 2004.

Namun, peranan itu bukan sahaja digerakkan pemimpin atau aktivis semata-mata, sebaliknya bermula unit paling kecil setiap lapis masyarakat dan pelbagai status ekonomi, termasuk individu. Suri rumah berperanan dalam pengurusan sisa buangan isi rumah dan memikul peranan kritikal sebagai mentor kepada anak dalam mewujudkan kesedaran memelihara alam sekitar. Golongan ibu memberi didikan awal bermula di rumah dengan mendedahkan anak menjadi pengguna lestari. Sekiranya mereka gagal memberikan contoh baik, akan lahir komuniti tidak peka kepada alam sekitar. Tanggungjawab itu dapat membentuk dan menyemai jiwa anak supaya mencintai alam sekitar. Kejayaan mendidik anak membuktikan wanita sebagai tonggak utama kecemerlangan alam sekitar.  Ini membuktikan wanita sudah lama diiktiraf ‘kunci penting’ pengurusan alam sekitar dan penyumbang utama pemuliharaan serta pemulihan alam sekitar. Mereka berpotensi besar mengurangkan produksi sampah domestik.

Anak perlu diasuh menyintai kebersihan seperti membuang sampah di tempat sepatutnya dan dilarang melakukan kerosakan alam. Anak terbiasa dengan didikan akan terbawa-bawa ke remaja dan dewasa, sekali gus melahirkan masyarakat peka kebersihan.  Malah, amalan kelestarian mudah boleh dipraktikkan di rumah seperti penjimatan air atau elektrik dengan menutup suis dan pili apabila tidak digunakan. Anak boleh didedahkan amalan menggunakan sumber air hujan dengan menakungnya untuk menyiram tanaman dan mencuci.

Konsep mengurangkan penggunaan, guna semula dan kitar semula (3R) ialah amalan kelestarian mudah serta murah diamalkan, namun besar impaknya kerana mampu meminimumkan penghasilan sisa pepejal, terutama di bandar.  Sifat teliti dan peka menjadikan wanita lebih menghargai anugerah Tuhan dalam menjaga alam sekitar daripada kemusnahan. Ini dapat dilihat gaya hidup wanita yang suka menghiasi rumah dengan tanaman seperti bunga yang memberi kesegaran serta mengekalkan kehijauan alam semula jadi. Kini, wanita berminat mempraktikkan pertanian bandar, iaitu menanam sayuran dan herba di sekeliling rumah untuk kegunaan seharian. Walaupun kelihatan sangat kecil manfaatnya, ia menyumbang alam sekitar lebih sihat.  Dapatlah disimpulkan wanita memainkan peranan paling besar dalam melindungi dan mensejahterakan alam sekitar. Di negara ini, kajian mendapati 57 peratus wanita rela membayar lebih untuk produk hijau berbanding hanya 40 peratus lelaki sanggup berbuat demikian.

Namun, kewajipan menjaga kebersihan alam sekitar bukan terletak sepenuhnya pada wanita sahaja. Setiap anggota masyarakat perlu sedar usaha pemuliharaan patut menjadi teras dalam diri masing-masing. Jika semua bertanggungjawab memainkan peranan serta bekerjasama menyelamatkan alam sekitar, pastinya alam sekitar akan dapat diselamatkan dan dipulihara sepenuhnya.

Tarikh Input: 21/04/2020 | Kemaskini: 21/04/2020 | nm_aini

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXESLA1~