Sekapur Sireh Seulas Pinang | INSTITUTE FOR SOCIAL SCIENCE STUDIES
» ABOUT US » DARI MEJA PENGARAH » Sekapur Sireh Seulas Pinang

Sekapur Sireh Seulas Pinang

25 TAHUN IPSAS

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam sejahtera

Selamat datang ke Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS)

Tahun 2026 hadir dengan sinar harapan dan ruang untuk IPSAS bekerja keras serta melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa, di samping kekal membumi dalam memperkasa komuniti tempatan. Sepanjang 25 tahun penubuhan IPSAS, pelbagai pengalaman dikongsi bersama komuniti. Bermula dengan isu berkaitan pemajuan desa, pendidikan komuniti, belia dan kepimpinan hampir kesemuanya dijadikan polisi dalam melonjakkan tahap kehidupan masyarakat yang dikaji ke peringkat yang lebih tinggi daripada yang sedia ada. Kejayaan ini bukanlah sesuatu yang bersifat kekal, sebaliknya bersifat dinamik dan harus dipertingkat lagi, lebih-lebih lagi dengan perubahan landskap sosial dan kehidupan yang semakin pesat. Masyarakat digital dan kecerdasan buatan merupakan fenomena terkini yang bukan sahaja mencorak generasi baharu tetapi juga yang lama. Kefahaman berkaitan kedua-dua ini merupakan perkara teras yang harus difahami oleh penyelidik sains sosial agar mereka sentiasa menjadi rujukan dan panduan dalam menentukan hala tuju masyarakat. Transisi masyarakat dari pertanian ke industri dan seterusnya ke era digital dan AI menjadikan cabaran yang perlu dihadapi lebih unik dan kompleks. Justeru, dugaan yang bukannya sedikit ini perlu ditangani dengan baik oleh penyelidik sains sosial untuk memandu masyarakat ke arah yang lebih positif dan dinamik dalam acuan budaya dan landskap Malaysia sendiri.

Dalam konteks belia, lantikan Menteri dan Timbalan Menteri Belia di bawah umur 30 merupakan isyarat yang jelas kepada semua pemegang taruh belia bahawa Malaysia di bawah PMX bersungguh untuk memberi ruang dan peluang kepada belia dalam menentukan hala tuju dan masa depan mereka sendiri. Belia seharusnya mengambil inisiatif ini sebagai satu tanggungjawab dan kepercayaan yang harus dilunaskan dengan penuh integriti dan dalam masa yang sama menyerlahkan potensi mereka dengan sebaiknya. Peluang keemasan ini harus diterjemahkan sesempurna yang mungkin. IPSAS selaku institusi pendidikan ulung dalam pengajian belia sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan di bawah naungan Menteri Belia yang baharu untuk menggariskan dasar yang mampu memperkasa belia ke satu tahap yang lebih tinggi berdasarkan kajian serta modul latihan yang komprehensif sifatnya. Kegusaran sesetengah pihak berkaitan usia belia ini seharusnya tidak menjadi isu yang boleh membantutkan potensi belia sedia ada. Profesionalisme kerja belia yang telah pun diiktiraf oleh KBS merupakan platform yang seharusnya dijadikan ruang kepada pemegang taruh belia untuk terus menyumbang bakti dan menyegarkan lagi masa depan belia. Sejajar dengan pemerkasaan Undi 18, belia seharusnya tidak lagi boleh dipengaruhi dalam menentukan masa hadapan mereka. Mereka harus memilih, dan pemilihan itu seharusnya berteraskan ilmu dan pengalaman yang ada. Umur muda tidak boleh dijadikan alasan bahawa mereka kurang pengalaman. Banyak program yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi kerajaan memberikan ruang kepada belia untuk mendapatkan pendedahan yang luas berkaitan masa depan yang mereka inginkan. Inisiatif dan pendedahan ini seharusnya diambil peluang oleh belia untuk melengkapkan pengalaman yang sedia ada.

Bagi IPSAS, 25 tahun merupakan usia matang untuk IPSAS  terus melebarkan sayap dengan lebih luas. Doa, harapan dan sokongan daripada semua diharapkan dapat menjadikan cita-cita IPSAS selaku institusi yang menunjangi Sains Sosial di UPM dapat diterjemahkan dalam bentuk nyata di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Besar harapan saya selaku pengarah dan ahli sains sosial agar institusi murni seperti IPSAS mendapat sokongan yang menyeluruh daripada semua pihak. Saya percaya, pada era ini seharusnya tiada lagi pandangan sempit di mana sesebuah institusi harus bergerak dalam ruang sempit secara sendirian. Gerakan ini harus bersifat inklusif dan terangkum seperti yang digariskan dalam konsep teras MADANI. Dengan itu, IPSAS juga mempelawa kerjasama daripada semua pihak untuk kita sama-sama memperkasa Institusi Sains Sosial ini ke arah yang lebih positif dan dinamik sifatnya.

Salam tahun baharu & Wallahu a’lam.

 

Profesor Dr. Haslinda binti Abdullah

Pengarah
Institut Pengajian Sains Sosial
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor

 

 

Updated:: 16/01/2026 [alyarahim]

MEDIA SHARING

INSTITUTE FOR SOCIAL SCIENCE STUDIES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
X, (12:52:25am-12:57:25am, 14 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]