Antara Bantuan dan Beban: Memahami Emosi Rakyat dalam Realiti Ekonomi Semasa
Professor Dr Haslinda Binti Abdullah
Institut Pengajian Sains Sosial, IPSAS
UPM
Ramai yang tertanya-tanya adakah rakyat Malaysia tidak rasa bertuah atau bersyukur dengan apa yang mereka dapat selama ini? Untuk memahami gelombang emosi rakyat Malaysia dewasa ini, kita harus memahami dua emosi utama dalam menjelaskan situasi yang berlaku. Dua emosi tersebut ialah rasa sedih dan rasa gembira. Di antara dua jenis emosi ini, kesedihan terasa lebih kuat bukan kerana manusia dicipta untuk menderita, tetapi kerana otak manusia direka untuk memberi keutamaan kepada ancaman, kehilangan dan emosi yang memerlukan perhatian. Apabila rasa terancam, otak manusia menganggap pengalaman negatif sebagai sesuatu yang penting untuk “survival”, jadi ia diproses lebih mendalam dan diingati lebih lama berbanding rasa gembira. Justeru itu, otak akan memberi “volume” lebih tinggi kepada emosi negatif. Sebab itu, perkara kecil yang menyakitkan boleh menenggelamkan banyak perkara baik dalam satu masa. Bagi perasaana gembira pula, manusia akan cepat menyesuaikan diri dengan perkara baik, Contohnya, berita gembira mungkin menggembirakan selama beberapa hari, tetapi lama-kelamaan menjadi sesuatu yang biasa. Berbanding dengan rasa sedih, kesedihan akan terus berulang dalam fikiran dan memberi kesan yang mendalam kepada emosi manusia.
Dalam konteks Kerajaan MADANI, bantuan seperti SARA, BUDI dan sumbangan persekolahan RM150 untuk setiap anak tanpa mengira latarbelakang ekonomi keluarga tidak dirasakan setanding dengan cukai atau peningkatan kos hidup kerana dari sudut psikologi, manusia secara semula jadi lebih peka terhadap kehilangan berbanding keuntungan dan ini dikenali sebagai loss aversion, iaitu rasa kehilangan wang yang lebih kuat kesannya berbanding rasa gembira menerima bantuan atau insentif. Oleh sebab itu, potongan cukai, kenaikan kos atau pengurangan subsidi lebih mudah dirasai berbanding manfaat tidak langsung seperti kestabilan sosial atau pembangunan negara. Selain itu, rakyat juga cenderung menilai keadaan ekonomi berdasarkan pengalaman harian seperti harga makanan, komitmen keluarga dan kos sara hidup, bukannya berdasarkan jumlah bantuan yang diumumkan. Ini kerana perkara tersebut lebih dekat dengan mereka, keadaan ini menyebabkan beban ekonomi lebih dominan dalam emosi dan pemikiran masyarakat berbanding penghargaan terhadap inisiatif bantuan yang diberikan kerajaan.
Selain itu, bantuan yang bersifat konsisten dan berterusan lebih memberi kesan psikologi berbanding bantuan sekali beri. Sebagai contoh, pengurangan kos pengangkutan, harga makanan asas, yuran pendidikan atau bil utiliti secara berkala lebih mudah dirasai dalam kehidupan harian berbanding bantuan tahunan yang cepat dilupakan. Ini kerana rakyat lebih sensitif terhadap kos yang berulang setiap bulan. Persepsi ini juga dipengaruhi oleh konsep relative deprivation, iaitu seseorang tidak semestinya berasa susah, tetapi merasakan dirinya menerima layanan yang kurang adil berbanding pihak lain. Dalam konteks semasa, golongan T20 melihat mereka membayar cukai lebih tinggi, menerima subsidi yang semakin berkurang dan menanggung kos hidup yang terus meningkat, ini menyebabkan mereka mudah merasakan beban yang dipikul lebih besar daripada manfaat yang diterima.Walaupun golongan T20 secara relatifnya masih berada dalam keadaan ekonomi yang lebih baik, mereka mungkin merasakan bahawa;
Peranan media sosial dan perbincangan awam turut menguatkan persepsi ini. Apabila naratif yang sering muncul di media sosial ialah mengenai kenaikan kos, cukai atau ketirisan, emosi negatif menjadi lebih dominan dalam pemikiran masyarakat. Dalam psikologi komunikasi, manusia lebih mudah mengingati isu yang mencetuskan rasa marah, kecewa atau tidak puas hati berbanding maklumat yang bersifat neutral. Persepsi ini juga berlaku apabila rakyat kurang dapat melihat hubungan langsung antara cukai yang dibayar dengan manfaat yang diterima. Jika sistem pengangkutan, pendidikan, kesihatan atau kemudahan awam tidak dirasakan cukup berkualiti, maka cukai dianggap sebagai “beban” dan bukannya “sumbangan kepada kesejahteraan bersama” apatah lagi baru-baru ini kerajaan membuat kenyataan berkaitan pemotongan peruntukan untuk Kesihatan dan Pendidikan iaitu dua komponen utama dalam kesejahteraan Masyarakat.
Secara keseluruhannya, persepsi ini berlaku kerana manusia menilai keadilan bukan hanya melalui angka, tetapi melalui emosi, pengalaman hidup, perbandingan sosial dan tahap kepercayaan terhadap sistem yang menguruskan sumber masyarakat. Namun begitu, dalam konteks negara dan masyarakat, konsep keadilan tidak semestinya bermaksud semua orang menerima jumlah yang sama, tetapi setiap golongan menerima berdasarkan keperluan dan kemampuan masing-masing. Dalam hal ini, pendekatan bantuan bersasar bertujuan membantu golongan yang lebih terkesan dengan kos sara hidup agar jurang sosial tidak menjadi terlalu besar.
Konsep ini sebenarnya mempunyai persamaan dengan prinsip zakat dalam Islam. Dalam Islam, zakat bukan bertujuan menghukum golongan berada, tetapi sebagai mekanisme membersihkan harta, pengagihan semula kekayaan dan menjaga keseimbangan sosial masyarakat. Pelaksanaan zakat memfokus kepada golongan yang mempunyai lebihan rezeki membantu golongan yang memerlukan supaya kestabilan sosial dapat dikekalkan dan golongan miskin tidak terus terpinggir. Prinsip ini berasaskan konsep tanggungjawab sosial dan ihsan, bukan semata-mata pertukaran keuntungan peribadi.
Selain itu, Islam juga menekankan bahawa harta bukan hanya hak individu secara mutlak, tetapi terdapat hak masyarakat di dalamnya. Sebab itu zakat dilihat bukan sekadar kehilangan harta, tetapi sebagai sumbangan kepada kesejahteraan ummah secara keseluruhan. Dalam konteks moden, cukai dan bantuan sosial boleh difahami melalui kerangka yang hampir sama, iaitu golongan yang lebih berkemampuan membantu menstabilkan kehidupan masyarakat secara kolektif.
Walaupun mutakhir ini terdapat beberapa isu melibatkan salah laku dalam penggunaan wang zakat, ianya adalah terpencil berbanding sejumlah besar yang mendapat manfaat hasil dari agihan zakat. Konsep zakat masih diterima kerana ia disertai unsur spiritual, kejelasan tujuan dan keyakinan bahawa bantuan tersebut sampai kepada asnaf yang layak. Sebaliknya, dalam sistem cukai moden, jika ketelusan dan kepercayaan terhadap pengurusan dana awam lemah serta akses kepada maklumat yang tepat tidak sampai kepada masyarakat, maka rakyat lebih mudah mempersoalkan keadilan sistem tersebut.
Kerajaan juga boleh meningkatkan ketelusan dan persepsi keadilan dalam pelaksanaan dasar. Ini boleh dilakukan dengan sebaran maklumat yang konsisten secara meluas. Apabila rakyat melihat bantuan sampai kepada golongan yang layak, ketirisan dikurangkan dan penggunaan cukai dijelaskan secara telus, tahap penerimaan terhadap cukai dan dasar kerajaan akan menjadi lebih positif. Dari segi psikologi, persepsi keadilan sangat mempengaruhi tahap kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan. Di samping capaian maklumat yang lebih berkesan, intervensi berbentuk literasi kewangan dan kesejahteraan mental juga penting bagi membantu rakyat mengurus tekanan kos hidup yang tidak dapat dielakkan. Ramai individu mengalami kebimbangan kewangan berpanjangan walaupun menerima bantuan kerana mereka masih berasa tidak selamat dari segi ekonomi masa depan. Oleh itu, program sokongan komuniti, pendidikan pengurusan kewangan dan bantuan pekerjaan atau peningkatan pendapatan boleh membantu mengurangkan tekanan psikologi rakyat secara lebih menyeluruh.
Secara praktikal, intervensi yang paling berkesan bukan hanya menambah jumlah bantuan, tetapi memastikan rakyat dapat merasai kesan bantuan tersebut secara nyata, konsisten dan adil dalam kehidupan harian mereka.
Date of Input: 22/05/2026 | Updated: 22/05/2026 | alyarahim

Putra InfoPort
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA