LEBAH SERANGGA UTAMA EKOSISTEM | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » LEBAH SERANGGA UTAMA EKOSISTEM

LEBAH SERANGGA UTAMA EKOSISTEM

LEBAH SERANGGA UTAMA EKOSISTEM

20 Mei diperingati sebagai Hari Lebah Sedunia disebabkan kepentingannya. Lebah boleh didapati di setiap benua, iaitu di setiap habitat planet yang ada tumbuhan berbunga kecuali di Antartika. Terdapat kira-kira lebih 16,000 spesies lebah dikenalpasti dalam tujuh keluarga biologi diktiraf. Umumnya, lebah merupakan serangga yang ditakuti oleh kebanyakan orang kerana sengatannya yang sangat menyakitkan.

KEPENTINGAN LEBAH

Apa kegunaan atau fungsi lebah bagi manusia? Selama berabad, lebah telah memberi manafaat bagi manusia, tumbuhan dan alam sekitar. Seperti serangga lain, fungsi utama atau perkhidmatan ekosistem yang disediakan oleh lebah adalah pendebungaan. Lebah sangat penting dalam ekosistem, kerana banyak spesies tanaman memerlukan serangga ini untuk membiak. Seperti tumbuh-tumbuhan, manusia memerlukan lebah untuk melakukan pendebungaan dalam membantu pengeluaran makanan. Pendebungaan adalah proses pemindahan debunga dari anter ke stigma. Proses ini penting bagi memastikan kejayaan persenyawaan pokok dan seterusnya untuk kemandirian spesies tumbuhan.

Melalui proses ini dianggarkan 60 peratus buah-buahan dan sayur-sayuran yang ada sekarang dapat dihasilkan. Hakikatnya, sebanyak 50-90 peratus diet manusia berdasarkan tumbuhan, jika serangga seperti lebah tidak menjalankan fungsi pendebungaan ini dalam ekosistem, maka semua sayur-sayuran, buah-buahan termasuk beras dan roti tidak akan ada lagi dalam menu harian manusia. Oleh itu, jika kita kehilangan semua serangga termasuk lebah, semua manusia di planet bumi ini akan dilanda kebuluran, kerana 85 peratus daripada semua tumbuhan di bumi berkembang biak melalui proses pendebungaan, misalnya buah tomato dan epal. Kajian lepas juga membuktikan bahawa lebah dan kumbang merupakan agen pendebungaan utama bagi pokok halia. Kajian oleh Takano et al. (2005) menunjukkan lebah yang dikenali sebagai Carpenter bees merupakan agen pendebungaan utama untuk spesies halia  Alpinia nieuwenhuizii iaitu halia Borneo.

Lebah juga adalah agen pendebungaan terbesar bagi kapas yang penting dalam industri tekstil. Tanpa lebah, industri kapas yang bernilai 420 bilion akan merosot dan lenyap. Bijian minyak seperti kanola dan bunga matahari menghasilkan minyak sayuran yang hanya diperoleh melalui pendebungaan oleh lebah. Bijian minyak ini turut merupakan sumber protein utama kepada haiwan ternakan seperti lembu yang membantu ternakan ini membesar dengan baik dan sihat seterusnya membekalkan daging yang banyak kepada manusia. Justeru, pemahaman tentang kepentingan serangga sebagai agen pendebungaan membuktikan bahawa lebah antara adalah barisan hadapan (frontliners) agen pendebungaan.

Madu kelulut yang dihasilkan oleh lebah merupakan satu produk tempatan popular yang dapat menjanakan pendapatan lumayan pada masa kini. Penghasilan madu lebah turut menjadi sumber makanan dan produk lain seperti lilin dan ubat gigi propolis. Impak daripada permintaan yang tinggi di pasaran tempatan, ia juga dieksport ke pasaran antarabangsa dan secara tidak langsung ia menyuntik kesan positif terhadap ekonomi negara selaras dengan hasil penjualan produk tersebut

Hakikatnya, lebah mempunyai peranan unik dalam ekosistem iaitu dalam bio-kepelbagaian dan keseimbangan alam sekitar. Jika kita membunuh serangga ini sewenang-wenangnya, ekosistem kita akan menjadi tidak seimbang dan akhirnya menjejaskan kemandirian haiwan dan tumbuh-tumbuhan lain. Justeru, ramai saintis menggelarkan lebah sebagai spesies paling berharga di dunia, mengatasi plankton, kulat dan kelawar. Maka, kita harus sentiasa berterima kasih kepada barisan hadapan ini yang tidak pernah gagal mewarnai hidup kita secara tidak langsung.

Malangnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pakar semakin bimbang masalah yang menimpa populasi serangga seperti lebah disebabkan oleh tekanan kegiatan manusia. Tanpa disedari dan secara perlahan-lahan, kita mungkin menyumbang secara langsung atau tidak langsung kepada kepupusan lebah yang memberikan banyak kepentingan kepada kita. Ini termasuk kegiatan perindustrian, pertanian dan penggunaan racun perosak yang melampau, pencemaran dan perubahan iklim. Maka, kita seharusnya berusaha untuk memperbaiki bagaimana kita berinteraksi dengan alam, bagi memastikan kita tidak merosakkannya secara berlebihan. Semoga setiap kita mempelajari kesilapan yang telah berlaku, dan berusaha untuk memperbaiki bagaimana kita menguruskan aktiviti harian bagi mengelakkan kemusnahan terus berlaku, khususnya melibatkan pemeliharaan lebah yang masih kita kurang faham lagi mengenainya.

Oleh : Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman, Ketua Laboratori,  Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik & Kewarganegaraan, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), UPM

Tarikh Input: 12/07/2022 | Kemaskini: 12/07/2022 | nooryati

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXDcSA2~