Cabaran Kesihatan Mental Belia Luar Bandar | INSTITUTE FOR SOCIAL SCIENCE STUDIES
» ARTICLE » Cabaran Kesihatan Mental Belia Luar Bandar

Cabaran Kesihatan Mental Belia Luar Bandar

Disediakan oleh:

Puan Nor Aini Mohamed

Pegawai Tadbir (Penyelidik Sosial)

Ruang selamat boleh ditakrifkan sebagai satu ekosistem interaksi yang menyediakan sokongan moral dan fizikal, di mana individu merasa bebas untuk mengekspresikan diri tanpa rasa takut akan kegagalan atau kritikan yang menjatuhkan. Bagi golongan muda, persekitaran berisiko rendah ini amat kritikal untuk mereka menguji keupayaan komunikasi dan kolaborasi. Kesilapan yang berlaku dalam ruang ini dianggap sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran yang selamat, dan maklum balas pula lebih mudah diuruskan secara positif.

Ruang selamat ini turut memperkasa rasa kepunyaan dan hubungan sesama individu, dua elemen yang menjadi teras kepada penglibatan sosial dan pembentukan hubungan yang baik. Dalam konteks ini, aktiviti berstruktur dan program luar sekolah terbukti berkesan kerana mampu menawarkan persekitaran yang selamat dari segi fizikal mahupun emosi. Impaknya, suasana sebegini akan menyuburkan rasa saling mempercayai, membolehkan ekspresi diri yang sebenar, dan melahirkan hubungan interpersonal yang lebih mendalam.

Kesan positif ini dapat dijelaskan melalui beberapa mekanisme yang saling berkait. Pertama, keselamatan psikologi (psychological safety) menggalakkan ekspresi diri, empati, dan pembinaan kepercayaan, di mana individu berasa cukup selamat untuk meluahkan pemikiran dan perasaan tanpa rasa takut dinilai secara negatif. Ruang selamat membolehkan golongan muda meluahkan identiti dan idea mereka tanpa berasa terancam atau diintimidasi. Ini sekali gus menyediakan asas yang kukuh untuk perkembangan hubungan sosial yang lebih sihat dan bermakna (Boat et al., 2024).

Kedua, latihan berstruktur (structured practice) membina kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, dan kolaborasi melalui aktiviti yang dirancang secara sistematik. Sebagai contoh, dalam kalangan belia, perkara ini dapat dilihat melalui aktiviti simulasi peranan (role-play) dalam permainan atau program bengkel kepimpinan,  di mana setiap peserta diberikan tanggungjawab khusus untuk menyelesaikan tugasan berkumpulan secara berfasa

Ketiga, rasa kepunyaan (belonging) meningkatkan penglibatan sosial serta memperluas rangkaian sokongan dalam kalangan belia. Program Pembangunan Belia Positif  (Positive Youth Development, PYD), misalnya, terbukti memupuk rasa kepunyaan dan perhubungan yang lebih erat, sekali gus membantu golongan muda membina jaringan sosial yang kukuh dan berterusan (Donovan et al., 2025).

Keempat, suasana inklusif (inclusive climate) meningkatkan tahap empati dan efikasi kendiri (self-efficay) dalam kalangan belia. Suasana inklusif  bermaksud satu persekitaran yang menerima, menghargai, dan meraikan kepelbagaian individu tanpa mengira latar belakang kaum, agama, keupayaan fizikal, mahupun status sosioekonomi. Apabila belia berada dalam persekitaran sebegini, mereka lebih mudah memahami perasaan orang lain (empati) dan lebih yakin dengan kemampuan diri sendiri untuk berjaya (efikasi kendiri).

Kelima, penglibatan sosial (social participation) membangunkan kerja berpasukan, empati, serta interaksi sivik dalam kalangan belia. Penglibatan sosial merujuk kepada penglibatan aktif belia dalam aktiviti kemasyarakatan, persatuan, atau program sukarelawan. Melalui platform ini, mereka tidak lagi bergerak secara individu, sebaliknya berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat. Apabila kita bercakap tentang penglibatan sosial  di dalam ruang selamat, ia bermaksud belia menyertai aktiviti kemasyarakatan atau kumpulan dalam satu persekitaran yang bebas daripada diskriminasi, kecaman, atau rasa takut dihakimi.

Di ruang selamat ini, belia bebas mengekspresikan diri, melakukan kesilapan untuk belajar, dan menyuarakan pandangan. Sebagai contoh, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia menyediakan platform seperti kumpulan sokongan rakan sebaya. Di sini, belia yang menghadapi tekanan akademik atau emosi berkumpul untuk berkongsi cerita tanpa takut dihakimi. Kumpulan ini tidak hanya mengadu, tetapi mula membincangkan kempen kesedaran kesihatan mental untuk komuniti luar. Ini merupakan langkah awal belia bertanggungjawab terhadap isu masyarakat.

Secara keseluruhannya, kelima-lima mekanisme ini, 1) keselamatan psikologi, 2) latihan berstruktur, 3) rasa kepunyaan, 4) suasana inklusif, dan 5) penglibatan sosial, saling melengkapi dalam membentuk laluan perkembangan yang menyokong pembinaan kemahiran sosial golongan muda secara holistik.

Selain memahami mekanisme di sebalik ruang selamat, penelitian terhadap konteks atau persekitaran operasinya juga amat kritikal. Hal ini kerana impak dan keberkesanan ruang selamat tersebut sangat dipengaruhi oleh latar tempat ia diwujudkan.

Dalam konteks sekolah, amalan pendekatan restoratif dan suasana bilik darjah yang inklusif berupaya memantapkan perpaduan, empati, efikasi kendiri, serta kemahiran sosial dan emosi dalam kalangan pelajar. Perkembangan ini membuktikan bahawa suasana perhubungan yang selamat amat penting bagi sekolah menyokong pertumbuhan sosial pelajar. Malah, ruang selamat di sekolah juga tidak sekadar merujuk kepada kemudahan fizikal, tetapi turut merangkumi hubungan yang saling menyokong dan dasar yang bersifat inklusif.

Ruang awam dan tempat rekreasi yang selamat dalam sesebuah komuniti amat membantu dalam mengukuhkan hubungan sosial, rasa kekitaan, dan perpaduan. Namun, jika persekitaran tersebut tidak selamat atau berasaskan keganasan, peluang untuk berhubung dan melatih kemahiran sosial akan menjadi terhad. Oleh sebab itu, golongan muda yang tinggal di kawasan berisiko tinggi amat bergantung kepada sekolah, kawasan perumahan, dan ruang santai sebagai tempat untuk mereka meraih rasa selamat, keselesaan, serta peluang untuk bergaul dengan rakan sebaya.

Di samping itu, ruang selamat di dunia digital juga sangat membantu, khususnya bagi golongan muda yang berasa terpinggir. Mereka sering menggunakan media sosial untuk berhubung dengan rakan sebaya, mencari identiti diri, dan mendapatkan sokongan moral. Walau bagaimanapun, ruang maya ini tetap mempunyai sisi negatif kerana boleh mendedahkan mereka kepada risiko diskriminasi dan rasa terasing.

Secara keseluruhannya, ruang selamat,  sama ada di sekolah, komuniti, mahupun dalam talian, memainkan peranan penting dalam menyediakan konteks yang menyokong perkembangan kemahiran sosial belia. Gabungan antara mekanisme psikologi dan konteks persekitaran ini menunjukkan bahawa usaha membina ruang selamat perlu bersifat holistik, merangkumi bukan sahaja ruang fizikal, tetapi juga hubungan, dasar, dan sokongan sosial yang konsisten merentasi pelbagai konteks kehidupan golongan muda.

Sejak sekian lama, isu kesihatan mental sering dikaitkan dengan tekanan hidup bandar yang serba pantas dan sesak. Namun tanggapan ini tidak lagi tepat pada hari ini. Belia yang membesar dan tinggal di luar bandar turut berdepan dengan pelbagai tekanan psikologi yang tidak kurang seriusnya, walaupun mereka dikelilingi oleh suasana desa yang kelihatan tenang dan damai. Di sebalik ketenangan itu, tersembunyi pelbagai dilema yang jarang diperkatakan secara terbuka, sedangkan kesannya terhadap kesejahteraan generasi muda luar bandar amat mendalam. Justeru, isu ini memerlukan perhatian segera daripada semua pihak, termasuk kerajaan, komuniti, dan keluarga, sebelum ia berkembang menjadi krisis kesihatan awam yang lebih besar dan sukar dikawal pada masa hadapan.  Kajian oleh McDougal et al., (2025)  mendapati bahawa belia di kawasan luar bandar yang menghadapi masalah kesihatan mental berhadapan dengan masalah kekurangan tenaga pakar, fasiliti yang terhad, isu pengangkutan, stigma sosial, serta isu privasi. 

 

Jurang Akses kepada Perkhidmatan Kesihatan Mental

Salah satu cabaran paling ketara yang dihadapi oleh belia luar bandar ialah akses kepada perkhidmatan kesihatan mental yang berkualiti. Kebanyakan fasiliti kaunseling, klinik psikologi, dan pakar psikiatri tertumpu di kawasan bandar, menyebabkan penduduk luar bandar terpaksa menempuh perjalanan yang jauh untuk mendapatkan rawatan. Kos perjalanan yang tinggi, ditambah dengan masa yang perlu diperuntukkan, sering kali menjadi penghalang besar, terutamanya bagi belia yang berasal daripada keluarga berpendapatan sederhana atau rendah. Akibatnya, ramai yang gagal mendapatkan pengesanan awal terhadap masalah kesihatan mental yang mereka alami. Apabila gejala tidak dikesan dan tidak dirawat pada peringkat awal, keadaan ini berpotensi menjadi lebih serius dan sukar dipulihkan. Jurang akses ini juga diperburukkan oleh kekurangan kakitangan profesional yang ditempatkan di kawasan luar bandar, menyebabkan sistem sokongan yang sedia ada tidak mencukupi untuk menampung keperluan sebenar komuniti tersebut.

 

Cabaran Stigma dan Privasi di Luar Bandar

Faktor kedua yang tidak kurang pentingnya ialah stigma sosial yang masih berakar umbi dalam kalangan masyarakat luar bandar. Ini disokong dengan dapatan kajian di Amerika Syarikat oleh Graves et al., (2024) yang mendapati stigma adalah halangan utama untuk mendapatkan rawatan kesihatan mental dalam kalangan komuniti luar bandar.

 Struktur komuniti di kawasan desa yang lazimnya rapat dan saling mengenali antara satu sama lain turut membawa kesan sampingan tersendiri terhadap isu kesihatan mental. Ramai belia bimbang jika mereka bercerita tentang masalah yang dihadapi, mereka akan dilabel sebagai individu yang "lemah" atau "kurang waras" oleh jiran dan ahli komuniti sekeliling. Ketakutan terhadap pandangan negatif ini menyebabkan ramai belia memilih untuk memendam masalah mereka secara senyap, tanpa mendapatkan bantuan yang sepatutnya.

Selain itu,isu privasi turut menjadi kebimbangan kerana dalam komuniti kecil, sebarang tindakan seperti melawat klinik kesihatan mental atau berjumpa kaunselor mudah diperhatikan oleh orang ramai. Keadaan ini secara tidak langsung mewujudkan satu bentuk tekanan sosial yang menyukarkan belia untuk mendapatkan sokongan secara terbuka dan selesa. 

 

Tekanan Ekonomi dan Konflik Identiti

Selain jurang akses dan stigma, tekanan ekonomi turut menjadi punca utama keresahan dalam kalangan belia luar bandar. Peluang pekerjaan yang terhad di kawasan luar bandar memaksa ramai belia untuk berhijrah ke bandar bagi mencari sumber pendapatan yang lebih baik. Namun, proses migrasi ini turut mencetuskan konflik identiti yang kompleks. Belia terpaksa menyesuaikan diri dengan gaya hidup bandar yang jauh berbeza daripada latar belakang mereka, sambil cuba mengekalkan ikatan dengan keluarga dan komuniti asal. Ketegangan antara kehendak untuk maju dalam kerjaya dan keperluan untuk kekal setia kepada akar budaya serta keluarga sering kali menimbulkan kegelisahan yang mendalam. Tambahan pula, tanggungjawab untuk membantu ekonomi keluarga turut membebankan sebahagian belia, terutamanya mereka yang berasal daripada keluarga yang bergantung sepenuhnya kepada sektor pertanian atau perikanan yang pendapatannya tidak menentu.

Dilema Sistem Sokongan

Nilai kekeluargaan yang kukuh sememangnya menjadi salah satu kekuatan utama masyarakat luar bandar dan sering dilihat sebagai perisai terhadap tekanan hidup. Walau bagaimanapun, harapan tinggi daripada masyarakat tempatan yang masih agak kolot kadangkala membuatkan golongan belia berasa tertekan untuk menjadi diri sendiri. Sesetengah belia berasa sukar untuk meluahkan perasaan sebenar atau membincangkan isu peribadi kerana bimbang dianggap tidak menghormati norma dan adat yang telah lama diamalkan. Keadaan yang bertentangan ini berlaku apabila sistem sokongan tempat bergantung pula yang menyekat luahan emosi belia, lalu menjejaskan kesihatan mental mereka secara diam-diam dan perlahan-lahan. 

 

Ke Arah Penyelesaian yang Lebih Menyeluruh

Bagi menangani cabaran ini secara berkesan, satu pendekatan bersepadu amat diperlukan. Usaha membongkar stigma melalui program kesedaran komuniti perlu diperkukuh, supaya masyarakat luar bandar dapat memahami kesihatan mental sebagai isu kesihatan biasa yang memerlukan rawatan, bukan sesuatu yang memalukan. Program sebegini boleh dijalankan melalui kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, sekolah, dan pemimpin masyarakat setempat, supaya mesej yang disampaikan lebih dipercayai dan mudah diterima oleh penduduk luar bandar.
Selain itu, pemanfaatan teknologi seperti perkhidmatan tele-kaunseling dilihat sebagai penyelesaian yang amat relevan pada masa kini. Melalui tele-kaunseling, belia luar bandar dapat mengakses khidmat sokongan profesional tanpa perlu menempuh jarak jauh, sekali gus turut menjaga aspek privasi yang menjadi kebimbangan utama mereka. Melalui gabungan kesedaran awam dan keupayaan teknologi digital, jurang perkhidmatan kesihatan mental antara bandar dan luar bandar dapat dikurangkan. Ini seterusnya membuka jalan bagi belia luar bandar untuk membesar secara sihat, seimbang, dan sejahtera. Dengan usaha berterusan daripada semua pihak berkepentingan, ketenangan luar bandar yang selama ini dilihat sebagai satu kelebihan boleh diperkukuh lagi dengan sistem sokongan kesihatan mental yang benar-benar responsif terhadap keperluan generasi muda luar bandar.

 

Rujukan
McDougal, E., Sheikh, A., De Lima, E. S., Lereya, S., Edbrooke-Childs, J., Deighton, J., Hobbs, T., Fonagy, P., & Thompson, A. (2025). Rural Community‐Based Interventions to Improve the Mental Health and Wellbeing of Children and Young People: A Rapid Scoping Review of the Quantitative and Qualitative Evidence. Journal of Community Psychology, 53. https://doi.org/10.1002/jcop.70037

Graves, J. M., Abshire, D., Koontz, E., & Mackelprang, J. (2024). Identifying Challenges and Solutions for Improving Access to Mental Health Services for Rural Youth: Insights from Adult Community Members. International Journal of Environmental Research and Public Health, 21. https://doi.org/10.3390/ijerph21060725

Date of Input: 27/07/2026 | Updated: 27/07/2026 | alyarahim

MEDIA SHARING

INSTITUTE FOR SOCIAL SCIENCE STUDIES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
W, (12:54:25am-12:59:25am, 28 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]