Oleh
Mersiana Kahar
IPSAS, 30 Disember 2025 - Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Adab Youth Garage (AYG) telah berjaya mengadakan satu program yang dikenali sebagai Bengkel Pembangunan Potensi Diri Belia 2025. Objektif bengkel ini adalah untuk meningkatkan kesedaran diri, membangunkan kemahiran insaniah (soft skills), memupuk nilai kepimpinan dan tanggunjawab sosial, mewujudkan ruang interaksi dan jaringan sosial, dan menggalakkan penglibatan aktif dalam pembangunan diri dan komuniti. Bengkel ini telah berlangsung selama sehari iaitu pada pukul 8:30 pagi sehingga 4:30 petang yang bertempat di Youth Arena, Institut Pengajian Sains Sosial, Putra Inforport, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Bengkel ini telah dihadiri seramai 46 orang belia yang berumur antara 13 tahun hingga 17 tahun.
Bengkel Pembangunan Potensi Diri Belia 2025 telah di isi dengan pelbagai slot yang menarik sehingga menyebabkan peserta berasa seronok, aktif dan bersemangat dari mula sehingga akhir program. Dalam bengkel ini, terdapat 4 slot yang telah disediakan iaitu Slot 1: Kenali Diri yang disampaikan oleh Dr. Aini Azeqa Ma’rof, Slot 2: Hanya Ada Satu Aku di Dunia yang disampaikan oleh Puan Fauziah Sirat, manakala Slot 3: Suara Saya Penting! yang disampaikan oleh Puan Azmariana Azman dan slot yang terakhir iaitu Slot 4: Gerak Tari & Melodi yang disampaikan oleh Puan Audriana Mumtaz Begum.
Sepanjang bengkel dilaksanakan, beberapa aktiviti dalam kumpulan telah dilaksanakan yang telah membangkitkan suasana riuh, ceria, seronok dan juga menimbulkan semangat sepasukan yang tinggi antara peserta yang hadir. Antara aktiviti yang telah mereka laksanakan adalah peserta diminta untuk melukis sesuatu yang melambangkan keperibadian mereka. Setelah itu, mereka akan dipilih secara rawak untuk menunjukkan lukisan dan juga menerangkan makna dari lukisan tersebut yang dikaitkan dengan keperibadian mereka sendiri. Hal ini bertujuan untuk melihat bagaimana peserta menilai diri sendiri dan juga berkongsi kelebihan dan juga perkara yang mereka ingin ubah dalam kehidupan masing-masing. Selain itu, bengkel ini semakin seronok ketika peserta dengan kumpulan yang telah ditetapkan melaksanakan aktiviti sebagai usahawan. Melalui aktiviti ini, ia dapat memberi pendedahan kepada peserta bagaimana untuk mempromosikan sesuatu barangan serta melatih peserta untuk berkomunikasi di khalayak ramai tanpa rasa segan. Tambahan pula, melalui aktiviti ini juga, kita dapat melihat bakat dan potensi yang ada pada diri peserta. Pada slot terakhir, dapat dilihat juga bahawa peserta mempunyai bakat yang hebat dalam dunia seni seperti menyanyi, beatbox, menari, bermain alat muzik dan sebagainya. Tidak dapat dinafikan bahawa bengkel ini membawa banyak manfaat kepada peserta dimana ia bukan sahaja mengisi masa lapang mereka tetapi juga dapat meningkatkan soft skill mereka untuk kegunaan di masa akan datang.
Kerjasama antara Adab Youth Garage dan Institut Pengajian Sains Sosial telah memberi impak yang positif untuk komuniti belia terutamanya. Sebelum program berakhir, sesi penyampaian hadiah telah diadakan dimana hadiah telah dimenangi oleh semua kumpulan iaitu kumpulan Havoc, Vibe, Berani, Awesome dan Behave. Terdapat juga peserta lelaki dan perempuan terbaik yang dipilih sebagai ikon bengkel ini. Ucapan perasmian daripada Encik Muhammad Nizam Samsudin selaku Pengarah Eksekutif ADAB Youth Garage. Akhir sekali, penyampaian cenderahati dan sesi bergambar penutup tirai bagi bengkel ini.
Secara keseluruhannya, penganjuran bengkel ini mendapat maklumbalas yang sangat positif dari para peserta dan ibu bapa. Bengkel ini juga merupakan program terakhir kerjasama antara IPSAS, UPM dan AYG bagi tahun 2025. Diharapkan semoga lebih banyak lagi program dan bengkel yang lebih menarik diadakan pada tahun yang akan datang.

Slot 1: Kenali Diri

Sesi bergambar bersama Dr. Aini Azeqa Ma’rof

Aktiviti berkumpulan (Usahawan Muda)

Slot 4: Gerak Tari dan Melodi

Sesi bergambar di akhir program
Date of Input: 19/01/2026 | Updated: 19/01/2026 | alyarahim

Putra InfoPort
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA