ELAK GELOMBANG KEDUA DENGGI | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » ELAK GELOMBANG KEDUA DENGGI

ELAK GELOMBANG KEDUA DENGGI

Artikel asal sebelum diterbitkan dalam Sinar Harian dengan suntingan pada 22 Jun 2020

Oleh Haliza Abdul Rahman

 

Virus denggi menular ke manusia melalui gigitan nyamuk Aedes yang dijangkiti daripada orang yang menghidap penyakit virus denggi. Denggi adalah antara ‘pembunuh’ senyap selain Covid-19 kerana denggi mampu mengancam nyawa tanpa disedari, maka masyarakat seharusnya tidak mengambil mudah mengenai demam denggi.

Cuaca panas dan lembab dengan hujan yang kerap seperti yang dialami sekarang dan dijangka berlarutan sehingga Oktober sangat sesuai untuk pembiakan nyamuk Aedes. Ini kerana kekerapan kejadian hujan akan menyebabkan sebarang bekas takungan buatan manusia ditakungi air dan mampu menjadi habitat larva nyamuk. Pembiakan virus demam denggi pula menjadi lebih cekap pada suhu udara yang lebih tinggi, dan masa yang diperlukan untuk mencapai kebolehjangkitan ‘infectiousness’ melalui pengumpulannya dalam kelenjar air liur nyamuk juga dipendekkan.

 

TREN PENINGKATAN KES MEMBIMBANGKAN

Di Malaysia, sejak Januari hingga 13 Jun tahun ini, sebanyak 50,511 kes demam denggi dengan 88 kematian dilaporkan berbanding 56,819 kes dan 88 kematian dalam tempoh sama tahun lalu. Walaupun jumlah kumulatif kes bagi tempoh itu berkurang berbanding tahun lepas, namun sejak lapan minggu lalu, trend peningkatan dikesan dengan purata lapan peratus seminggu. Berdasarkan trend tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan akan berlaku peningkatan kes demam denggi gelombang kedua bermula awal Jun sehingga September 2020, berdasarkan tren kes demam denggi selama 5 tahun. Sehingga 14 Jun, Selangor mencatatkan kes tertinggi dengan 28,647 kes dengan 498 lokaliti diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 5,035 kes dan Johor dengan 4,648 kes.

 

AWASI NYAMUK SERANGGA PENCETUS DENGGI

Denggi telah menjadi beban kesihatan, ekonomi dan sosial yang signifikan terhadap populasi kawasan endemik. Rata-rata negara seluruh dunia menghadapi masalah penularan jangkitan demam denggi yang tidak terkawal dan ini telah menjadikan penyakit denggi sebagai penyumbang kepada beban penyakit secara global paling besar iaitu sebanyak 75%. Pada tahun 2012, denggi sekali lagi diklasifikasikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai penyakit bawaan nyamuk yang amat penting untuk diberikan perhatian ekoran daripada penularannya secara geografikal yang mana sejak tahun 2000, denggi epidemik telah menular ke kawasan baru selain menjadikan keadaan lebih teruk di kawasan yang sudah dilanda denggi. WHO melaporkan sebanyak 50 juta kes demam denggi berlaku setiap tahun di seluruh dunia.

 

Vektor kepada jangkitan deman denggi iaitu nyamuk boleh hidup dan membiak di semua habitat berair atau akuatik seperti dalam tayar yang terbiar, longkang, tangki air, pasu bunga, hatta dalam bekas perangkap semut. Perlu diketahui bahawa nyamuk hanya memerlukan sedikit air iaitu air sebesar duit syiling 20 Sen sahaja yang sama dengan sebesar satu sudu cawan teh untuk bertelur dan nyamuk Aedes mampu bertelur antara 80 hingga 100 biji. Malahan, telur Aedes mampu bertahan dalam persekitaran kering sehingga tempoh enam bulan dan akan mula menetas dan bertukar menjadi pulpa atau jentik-jentik sekiranya ada air.

 

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menyebabkan lebih banyak sektor ekonomi, aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan dan perniagaan dibuka secara berperingkat. Berkemungkinan kebanyakan tempat ini yang lama tertutup dan tiada pergerakan orang ramai berisiko untuk menjadi tempat pembiakan nyamuk. Ini kerana teknik pembinaan bangunan dan reka bentuk tapak pembinaan seperti pembinaan jalan, saliran dan pembangunan terusan juga boleh menjadi tempat pembiakan tiruan kepada nyamuk disebabkan modifikasi persekitaran. Faktor lain yang menyumbang kepada kes denggi masih tinggi adalah pembuangan sampah tidak teratur. Oleh itu, bahan buangan domestik dan bahan binaan perlu diuruskan dengan sempurna supaya tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

 

BERSAMA MENCEGAH PENULARAN DENGGI

Tahap kesedaran tentang bahaya dan pencegahan penyakit denggi masih kurang kalangan masyarakat di negara ini. Maka tidak menghairankan apabila operasi pemeriksaan rumah ke rumah dijalankan oleh pihak KKM, banyak bekas takungan air di luar dan dalam rumah seperti tong, baldi dan kolah mandi yang menjadi tempat pembiakan jentik-jentik dijumpai. Penduduk juga seolah-olah ‘kebal’ dengan tidak ‘gerun’ terhadap tindakan yang akan dikenakan kerana keingkaran mereka. Perlu diingat, KKM boleh mengarahkan penduduk melakukan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat yang berpotensi menjadi tempat pembiakan Aedes di bawah Seksyen 8, Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975. Di bawah akta yang sama, kompuan berjumlah RM500 boleh dikeluarkan mengikut Seksyen 13(2) sekiranya tempat pembiakan jentik-jentik ditemui di sekitar kawasan kediaman penduduk.

 

Mengekang penularan demam denggi tidak hanya terletak dibahu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja kerana semua pihak perlu turut serta termasuk masyarakat. Usaha membanteras nyamuk Aedes dan demam denggi adalah tanggungjawab kita semua, sepertimana masyarakat berganding bahu bagi memutuskan penularan jangkitan Covic-19. Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), masyarakat disaran untuk terus melakukan aktiviti pencegahan denggi seperti bergotong-royong membersihkan kawasan persekitaran kediaman mereka dengan terus mengamalkan SOP yang disarankan iaitu penjarakan sosial serta kebersihan kendiri yang tinggi semasa menjalankan aktiviti pembersihan tersebut dengan memakai pelitup muka serta kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan cecair sanitasi. Setiap individu pula perlu menggunakan perlindungan diri dengan memakai repelen dan pakaian yang menutup anggota badan daripada gigitan nyamuk dan sekiranya mengalami gejala demam denggi, segera dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berhampiran kerana Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau Pemulihan tidak sepatutnya menjadi halangan untuk mendapatkan rawatan awal.

 

 Prof. Madya Dr Haliza Abdul Rahman
Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia
Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
dr.haliza@upm.edu.my 

 

 

Tarikh Input: 24/06/2020 | Kemaskini: 24/06/2020 | nm_aini

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXETIAI~