HENTIKAN PENCEROBOHAN, PELIHARA KHAZANAH HUTAN KITA | INSTITUTE FOR SOCIAL SCIENCE STUDIES
» ARTICLE » HENTIKAN PENCEROBOHAN, PELIHARA KHAZANAH HUTAN KITA

HENTIKAN PENCEROBOHAN, PELIHARA KHAZANAH HUTAN KITA

**Article published in Bahasa Melayu and no translation in English**
**Article has been edited and published in Berita Harian date 22 June 2020.**

By Haliza Abdul Rahman

Malaysia amat bertuah dianugerahi sumber hutan asli bernilai tinggi serta menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sosio-ekonomi negara. Sejumlah 54 peratus permukaan bumi Malaysia diliputi hutan. Hutan hujan di Malaysia merupakan antara hutan hujan tertua di dunia dengan usianya mencapai jutaan tahun dan mengandungi sekurang-kurangnya 8000 spesies flora dan 400 spesies fauna. Hutan berfungsi sebagai kawasan tadahan air, mengawal perubahan suhu, habitat flora dan fauna, serta membekal makanan dan ubatan semula jadi, justeru, ia wajar dipulihara dan dipelihara sebagai sumber negara yang amat berharga.

 

Hutan Simpan Ulu Muda di Kedah misalnya merekod lebih 100 spesies mamalia dan 50 spesies reptilia. Ini termasuk spesies terancam seperti harimau bintang, gajah Asia, tapir, beruang matahari, memerang hidung rata dan tapir selain menjadi habitat kepada lebih 170 spesies burung dan antara yang menjadi tarikan ialah semua 10 spesies burung enggang terdapat di sini berbanding hanya lapan di Sarawak. Menariknya di sebalik kepentingan sebagai tapak biodiversiti negara serta kawasan tadahan air, umum mungkin terkejut mengetahui terdapat juga kawasan hutan seperti Ulu Muda yang tidak diwartakan mengikut mana-mana peruntukan undang-undang kerana kawasan itu tidak digazetkan sebagai Taman Negara/Negeri mahupun kawasan tadahan air seterusnya mendedahkan hutan tersebut kepada ancaman kepupusan.

 

HUTAN TERUS DIANCAM

Malaysia kini diancam masalah kepupusan serius flora mahu pun fauna akibat kemerosotan kualiti dan pemusnahan hutan. Natijahnya hutan terus diceroboh dan dimusnahkan. Keterancaman hutan didorong oleh tindakan dan perilaku manusia yang bersikap tamak demi kepentingan diri sendiri sehingga menjejaskannya. Pembalakan rakus telah mengancam fungsi sokongan hayat hutan yang berperanan utama sebagai penyerap karbon bagi menangani perubahan iklim dan juga sumber air. Aktiviti berisiko tinggi seperti pembalakan haram bukanlah satu amalan lestari kerana ia menimbulkan pelbagai kesan dan menjerumus kepada kemusnahan ekosistem serta kepelbagaian biodiversiti.

 

Pencerobohan hutan terus berlaku kerana ada ruang dan kesempatan, misalnya pegawai penguatkuasaan tidak boleh berada di satu-satu tempat pada setiap masa. Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), memang wujud unsur salah laku seperti jenayah rasuah dan penyelewengan dalam urusan pembalakan yang melibatkan kontraktor, pelesen dan juga pegawai serta kakitangan Jabatan Perhutanan. Faktor lain hutan diceroboh khususnya oleh aktiviti pembalakan haram adalah permintaan melebihi penawaran, kurang rondaan penguatkuasaan, harga kayu balak yang tinggi di pasaran dan kesempatan mengamalkan rasuah oleh segelintir pegawai yang tidak bertanggung jawab.

 

Natijahnya, hutan negara terus terancam aktiviti pembalakan dan penerokaan, sama ada secara sah atau haram selain akibat perubahan iklim. Misalnya, sehingga November 2019, seramai 29 individu ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) kerana terbabit dalam kegiatan penerokaan haram seluas 32 hektar di Hutan Simpan Pedu, Padang Terap; Hutan Simpan Enggang, Sik dan Hutan Simpan Gunung Raya, Langkawi. Pada 19 Mac 2020 pula, JPNK menahan sembilan lelaki disyaki menceroboh 10 hektar hutan dan mencuri balak dianggarkan bernilai RM200,000 di kawasan Hutan Simpan Koh Moi dekat Sintok. Pada Februari 2020, sebanyak 1,700 batang balak dianggarkan bernilai lebih RM1 juta ditebang secara haram dan tidak berlesen di Long Mio, Sipitang, Sabah. Di Kuala Lumpur pula, sejak diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) pada 1933, Hutan Bukit Sungei Puteh menjadi korban pembangunan secara berterusan, apabila keluasan asalnya 40 hektar tetapi kini menyusut kepada 14.51 hektar tanpa diganti. HSK Bukit Nanas dengan keluasan berbaki 9.37 hektar turut diintai pelbagai pihak yang mengemukakan kertas cadangan membeli atau menyewanya daripada kerajaan, dengan tawaran mengambil alih hak penjagaan. Terkini, terdapat ura-ura kerajaan Selangor untuk menyahwartakan antara hutan paya gambut penting, iaitu Hutan Simpan (HS) Kuala Langat Utara daripada senarai HSK untuk memberi laluan kepada pembangunan.

 

PELIHARA KHAZANAH HUTAN KITA

 

Proses pembangunan negara adalah penting, namun ia perlu dilakukan secara bijaksana tanpa memusnahkan hutan yang amat berharga. Justeru, pembangunan yang  keterlaluan sehingga mengorbankan hutan wajar dihentikan sejajar dengan matlamat kerajaan untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dikekalkan sebagai kawasan berhutan sepertimana komitmen yang dinyatakan semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada tahun 1992. Cadangan agar Jabatan Perhutanan dan Perhilitan diberi kebenaran untuk menembak penceroboh hutan adalah wajar bagi menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia tegas dalam menangani isu pencerobohan hutan ini. Ini kerana perompak khazanah alam ini bukan calang-calang kerana mereka cukup ganas, rakus dan berani mati sehingga berani menyerang anggota penguatkuasaan dengan senjata berbahaya sehingga mengancam nyawa mereka. Malahan tindakan ini memberikan satu signal bahawa kerajaan Malaysia amat tegas dalam melindungi dan memelihara khazanah negara selain menunjukkan bahawa undang-undang negara tidak sewenang-wenangnya boleh diperlekehkan. Pasukan Bertindak Khas yang telah ditubuhkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dianggotai Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia serta beberapa agensi penguat kuasa yang lain bagi menangani kejadian pencerobohan hutan dan tanah secara haram di Cameron Highlands, Pahang juga wajar diperluaskan. Akhirnya, orang awam  perlu secara sukarela ‘menjadi mata dan telinga’ bagi memantau kegiatan pencerobohan hutan secara haram di negara ini demi kesejahteraan alam dan masyarakat keseluruhannya.

Assoc. Prof Dr Haliza Abdul Rahman
Head of Laboratory 
 Laboratory of Health and Social Wellbeing
Institute for Social Science Studies

Universiti Putra Malaysia
dr.haliza@upm.edu.my 

 

Date of Input: 24/06/2020 | Updated: 24/06/2020 | nm_aini

MEDIA SHARING

INSTITUTE FOR SOCIAL SCIENCE STUDIES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXEYGAw~