Hikkikomori Dan Society 5.0, Dilema Masyarakat Jepun Dan Kaitannya Dengan Malaysia | INSTITUTE FOR SOCIAL SCIENCE STUDIES ipsas
» ARTICLE » Hikkikomori dan Society 5.0, Dilema Masyarakat Jepun dan kaitannya dengan Malaysia

Hikkikomori dan Society 5.0, Dilema Masyarakat Jepun dan kaitannya dengan Malaysia

Oleh : Prof. Dr. Haslinda Abdullah 

Penulisan kali ini merupakan kisah yang berlaku di Jepun berkaitan orang muda. Kita semua maklum bahawa Jepun merupakan sebuah negara membangun yang sedang berhadapan dengan isu penuaan. Dijangkakan menjelang 2050 hampir 50% iaitu 47% masyarakat Jepun terdiri dari golongan warga emas iaitu mereka yang berumur dari 60 tahun dan ke atas. Keadaan ini di burukkan lagi dengan kadar kesuburan yang semakin menurun dalam kalangan wanita muda, dikatakan purata bilangan anak seorang wanita Jepun  sepanjang hayat turun untuk tahun keenam berturut-turut kepada 1.3.Kadar itu adalah yang keempat terendah dalam rekod, menurut agensi berita Jepun Jiji Press. Situasi yang berlaku ini menjadi semakin kritikal dengan kewujudan generasi yang dipanggil ‘hikikomori’ iaitu golongan dewasa muda yang telah menarik diri daripada masyarakat dan kekal terpencil di rumah mereka untuk tempoh yang lama. Mereka juga dikenali sebagai ‘pelarian sosial’. Hikkikomori tidak diiktiraf sebagai diagnosis klinikal tetapi lebih merupakan fenomena sosial yang memberi kesan kepada semua peringkat umur. Apa yang menarik perhatian penulis adalah kesan berganda kepada keseluruhan ekosistem keluarga di Jepun hasil daripada apa yang berlaku kepada golongan muda ini. Bagaimana situasi ini boleh berlaku?

 

Ianya merupakan rentetan dari pelbagai faktor. Kebiasaannya berlaku kepada mereka dalam golongan Not in Education, Employment and Training. ataupun NEET. Keadaan ini menjadi lebih ketara apabila Covid 19 melanda dunia pada awal 2020 di mana segala-gala aktiviti sosial secara bersemuka seolah-olah terhenti. Covid 19 ini juga memberi kesan yang sangat ketara kepada golongan muda dari aspek pendidikan, pekerjaan dan ekonomi yang menyumbang kepada peningkatan statistik golongan NEET. Malu serta tidak mempunyai keyakinan diri menyebabkan golongan ini masuk ke alam Hikkikomori di mana golongan ini akan mengasingkan diri dan berada dalam kemurungan selama bertahun-tahun. Kehadiran media sosial, telefon pintar, permainan atas talian terus memburukkan keadaan. Data menunjukkan daripada 54.5% yang berada dalam situasi ini, terdapat 45.7% yang mengasingkan diri selama lebih 10 tahun iaitu satu tempoh yang cukup lama dan akan menyebabkan lebih sukar untuk mereka kembali bersosial di dunia luar serta boleh mengakibatkan isu kesihatan mental yang lebih parah seperti kesedihan dan kebimbangan yang berterusan.

 

Golongan Hikkikomori ini biasanya bertindak sedemikian kerana merasakan diri mereka tidak berguna sehingga hilang makna untuk hidup. Rasa malu yang menebal untuk berhadapan dengan masyarakat akibat dari tidak mempunyai pekerjaan atau tidak berada dalam mana-mana sektor yang produktif menjadikan ada antara mereka yang sanggup mati kebuluran dalam diam ataupun hidup dalam keadaan tidak cukup zat makanan. Kebanyakannya mengharapkan ibu bapa untuk menanggung makan minum, ini kerana menurut mereka, apa yang berlaku bukanlah apa yang diingini.   Mereka tidak minta untuk dilahirkan jadi ibu bapalah yang perlu menanggung keperluan hidup yang diperlukan. Apa yang merisaukan golongan hikkikomori ini adalah bagaimana untuk berhadapan dengan masyarakat serta bagaimana mereka hendak meneruskan hidup tanpa kemahiran dan pekerjaan yang stabil lebih-lebih lagi kebanyakan ibu bapa mereka yang menanggung keperluan hidup selama ini semakin menua dan uzur. Jadi bagaimana masyarakat Jepun berusaha untuk mengatasi isu yang semakin kritikal ini?

 

Sebagaimana kita sedia maklum, Jepun terkenal dengan teknologi terkini dalam mendepani krisis penuaan yang dikenali sebagai Society 5.0. Konsep ini digunakan untuk membantu golongan warga emas untuk menjalani kehidupan seharian mereka dengan lebih bermakna. Dalam konteks hikikomori, konsep ini telah diguna pakai oleh sebuah NGO yang menyedari bahawa langkah intervensi yang bersesuaian perlu dilakukan dengan kadar segera untuk mengatasi isu pengasingan sosial secara melampau ini. Antara NGO yang terlibat adalah JACFA, yang berusaha untuk membantu golongan ini walaupun proses untuk membantu adalah sangat sukar kerana golongan ini tidak mahu didekati, JACFA telah menggunakan kaedah terkini dalam mendekati hikkikomori, antaranya adalah dengan menggunakan metaverse untuk berkomunikasi secara virtual bersama mereka. Apa yang dilakukan adalah mereka mewujudkan sebuah bilik yang dinamakan ‘Bilik Sokongan Maya Fukuoka’, atau dikenali sebagai "Bilik" bagi memudahkan golongan hikkikomori berkomunikasi dengan setiap individu yang memasuki ‘Bilik’ tersebut. Mereka yang terlibat akan menggunakan avatar pilihan untuk berkomunikasi. Ini secara tidak langsung mengurangkan rasa cemas ataupun bimbang yang dialami untuk berkomunikasi dengan masyarakat luar. Terdapat juga pengeluar CD dan DVD seperti Avex Group yang menghasilkan DVD memaparkan seorang wanita secara langsung merenung ke dalam kamera untuk membantu hikikomori belajar mengatasi hubungan mata dan interaksi manusia yang panjang.

 

Konsep samaran menggunakan avatar yang dipilih serta DVD yang memberi latihan untuk bersemuka secara langsung dengan bertentang mata dalam tempoh yang lama merupakan kaedah permulaan yang baik bagi golongan hikkikomori memecahkan rasa bimbang untuk bergaul dengan orang ramai. Walau bagaimanapun, bagi memastikan kejayaan mendedahkan hikkikomori ke dunia nyata, langkah seterusnya harus melibatkan pertemuan bersemuka secara berfasa dan ini memerlukan penglibatan kumpulan pekerja sosial yang terlatih dan berpengalaman untuk mengendalikannya secara profesional.

 

Pada pandangan penulis, pendedahan kepada alam sekitar seperti tumbuh-tumbuhan yang melibatkan pertanian dan juga binatang ternakan boleh menjadi satu kaedah intervensi awal yang boleh diusahakan. Ini kerana, pendedahan kepada tumbuh-tumbuhan dan haiwan ternakan ataupun haiwan peliharaan boleh menjadi ‘healing factor’ atau faktor penyembuh yang dapat membantu mereka untuk keluar dari kepompong yang melindungi mereka selama ini. Sentuhan, bau dan rasa yang melibatkan semua deria penting seorang manusia akan mengaktifkan deria mereka yang selama ini terkurung di dalam bilik kecil dan mengembalikan rasa teruja mereka untuk mencuba beradaptasi dengan dunia sebenar. Kajian saintifik berkaitan kesunyian menunjukkan haiwan peliharaan seperti kucing, anjing dan burung sangat membantu individu yang kesunyian untuk terus kekal positif. Ini penting bagi mengelakan mereka berputus asa dari meneruskan kehidupan.

 

Dalam konteks Malaysia, dengan perkembangan pesat dunia AI, permainan dalam talian dan juga pertambahan golongan NEET setelah berlakunya Covid 19, tidak mustahil fenomena yang sama juga berkemungkinan berlaku kepada golongan muda di sini. Berdasarkan rungutan dari ibubapa mengenai sukarnya untuk memisahkan anak-anak mereka dari bergandingan rapat dengan gajet dan permainan dalam talian, berkemungkinan golongan muda di Malaysia juga akan turut terlibat seperti mana hikkikomori di Jepun sekiranya tidak dilakukan sebarang intervensi awal. Situasi yang jelas bertentangan dengan budaya dan adat masyarakat Asia Tenggara ini telah meresap masuk secara halus dan semakin meresahkan ibu bapa, ahli akademik serta pihak yang berwajib. Institusi keluarga akan terkesan dan mempengaruhi keseluruhan ekosistem masyarakat di Malaysia. Sebelum fenomena yang sama mengakar umbi dan menjadi parasit kepada anak muda dan masyarakat Malaysia seharusnya pihak kementerian pendidikan, kementerian belia, kementerian wanita dan juga kementerian pendidikan tinggi duduk bersama serta merangka satu pelan mitigasi yang memfokus kepada kaedah mencegah.  Untuk itu, sesuai dengan cuaca serta persekitaran Malaysia amatlah digalakkan program seperti agrotani, Kutip sambil beriadah (KUDAH),  dan larian bersama haiwan peliharaan yang dilaksanakan oleh Fakulti Veterinar, UPM digalakkan dan diperkembangkan secara lebih serius. Ini bagi memberikan program alternatif kepada anak muda agar mereka didedahkan dengan pelbagai pilihan untuk kekal produktif, proaktif dan sejahtera. Pengajaran dari negara Jepun yang terkenal dengan kemajuan dan pembangunan yang pesat tetapi gagal mengurus orang muda seharusnya menjadi pengajaran yang bermakna untuk Malaysia dalam merencana masa depan orang muda. ‘Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’ harus diperkemaskan dengan tindakan serta perancangan yang kemas dan teratur bagi memastikan ianya benar-benar di terjemahkan dalam kehidupan seharian mereka..

Date of Input: 20/12/2024 | Updated: 20/01/2026 | nm_aini

MEDIA SHARING

INSTITUTE FOR SOCIAL SCIENCE STUDIES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
W, (11:27:09pm-11:32:09pm, 13 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]