IMUNISASI KELOMPOK, KEJAYAAN YANG DINANTI | INSTITUTE FOR SOCIAL SCIENCE STUDIES
» ARTICLE » IMUNISASI KELOMPOK, KEJAYAAN YANG DINANTI

IMUNISASI KELOMPOK, KEJAYAAN YANG DINANTI

By Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman

Dua syarat utama menurunkan kadar jangkitan COVID-19 dalam komuniti adalah melengkapkan suntikan vaksin serta kekal mematuhi tindakan kesihatan awam dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan. Vaksin diakui sebagai perisai paling berkesan mengurangkan impak varian COVID-19. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), semua vaksin yang diluluskan memberi perlindungan yang signifikan daripada mendapat jangkitan teruk, mengurangkan kemasukan ke hospital serta berupaya mengatasi pelbagai varian, termasuk varian Delta. Malah, menurut WHO, individu yang tidak divaksinasi adalah lebih 10 kali ganda berkemungkinan mendapat jangkitan yang lebih teruk atau meninggal dunia.

Kejayaan Membanggakan

Disebabkan keberkesanan vaksin, kerajaan menyasarkan negara mencapai imunisasi kelompok sehingga 80 peratus populasi atau sekitar 24 juta penduduk menjelang November 2021. Imuniti kelompok dilihat sebagai penyelamat untuk mengekang penularan virus maut ini dan diharap dapat memberi kebebasan kepada masyarakat untuk kembali kepada kehidupan normal.

Sehubungan itu, strategi kerajaan adalah untuk memastikan seramai mungkin penduduk negara ini sama ada warganegara dan bukan warganegara menerima vaksin secepat mungkin bagi menyelamatkan nyawa. Malaysia kini di landasan baik dengan kadar pemberian vaksin 1.25 untuk setiap 100 populasi.

Kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) disokong oleh penerimaan rakyat yang tinggi terhadap program ini. Kajian National Library of Medicine National Institutes of Health, Amerika Syarikat menyatakan Malaysia adalah antara negara yang mencatat kadar penerimaan vaksin COVID-19 tertinggi di dunia iaitu 94.3 peratus dalam kalangan rakyatnya. Seterusnya membolehkan Malaysia menjadi antara negara yang merekodkan kadar pemvaksinan terpantas di dunia.

Lembah Klang mendahului dengan 100 peratus penduduk dewasa yang berdaftar dengan MySejahtera dijangka melengkapkan vaksinasi mereka menjelang September. Setakat 31 Ogos, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) memaklumkan sebanyak 64.2 peratus atau lebih 15.03 juta individu daripada populasi dewasa di seluruh negara sudah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19, manakala penerima dos pertama daripada golongan dewasa pula adalah sebanyak 84.3 peratus atau lebih 19.74 juta orang.

Pencapaian ini harus dibanggakan kerana dalam tempoh enam bulan sahaja, lebih separuh daripada populasi negara berjaya menerima suntikan. Kadar vaksinasi harian juga mencatat rekod yang membanggakan iaitu sebanyak 525,111 dos pada 17 Ogos lalu.

Perkembangan Awal Tunjuk Tanda Positif

Ironinya, seluruh negara sudah mula melihat perkembangan awal yang positif hasil daripada PICK. Beberapa negeri yang sebelum ini mencatat kes harian tertinggi iaitu di Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan dan Lembah Klang mula menunjukkan beberapa pencapaian. Langkah kerajaan melaksanakan Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang bagi mempercepat proses vaksinasi turut membuahkan hasil. Berlaku penurunan kadar kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital bagi semua kumpulan umur serta pesakit kategori tiga hingga lima.

Kadar penggunaan katil (BOR) bagi pesakit COVID-19 di Selangor menurun kepada 65 peratus pada 28 Ogos berbanding 101 peratus pada 1 Ogos. Sehingga 20 Ogos, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, merekodkan penurunan jumlah pesakit COVID-19 yang sedang dirawat sebanyak 46.6 peratus. Penggunaan oksigen juga menunjukkan penurunan daripada 82.8 peratus pada 1 Ogos kepada 35.12 peratus pada 27 Ogos. Ini menunjukkan keadaan yang bertambah baik.

Menariknya, turut berlaku penurunan bilangan kes bagi kategori tiga hingga lima. Data daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) di jabatan kecemasan hospital kerajaan di Lembah Klang juga bertambah baik apabila purata pesakit menunggu untuk ditempatkan ke wad telah menurun. Pada 31 Julai, purata sehari pesakit yang menunggu di jabatan kecemasan adalah 909 orang, jumlah itu menurun kepada 239 orang pada 13 Ogos. Labuan dan Sarawak turut berjaya mengurangkan kadar kemasukan ke hospital, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan penggunaan ventilator.

Cabaran Getir

Walaupun PICK telah menunjukkan beberapa kejayaan, namun kemunculan varian baharu yang mampu mengelak daripada perlindungan vaksin dilihat berupaya menjadi penghalang utama bagi Malaysia untuk mencapai imuniti kelompok. Varian Delta semakin menjadi strain dominan di seluruh dunia kerana kadar jangkitannya yang tinggi. Selain boleh mengelak daripada perlindungan sesetengah antibodi, suntikan vaksin juga kurang berkesan untuk menghalang jangkitan dan transmisi berbanding strain terdahulu.

Cabaran lain adalah peratusan imunisasi kelompok. Pada 3 Ogos lalu, Persatuan Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat menganggarkan angka yang diperlukan bagi membentuk imuniti kelompok ialah 90 peratus daripada populasi berbanding 60 hingga 70 peratus sebelum ini. Perubahan angka itu adalah gara-gara kemunculan varian Delta.

Kenyataan itu susulan daripada laporan Washington Post pada 30 Julai yang memetik Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat bahawa 'peperangan' menentang COVID-19 kini berubah. Ia berikutan strain baharu itu yang menyebabkan jangkitan lebih teruk selain lebih mudah berjangkit.

Adakah ini bermakna, Malaysia perlu menukar strategi, iaitu menetapkan sasaran 90 peratus penduduk divaksinasi berbanding 80 peratus sebelum ini. Selain itu, kerajaan juga perlu melaksanakan vaksinasi ke atas golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun memandangkan peningkatan kes membabitkan kanak-kanak. Pelaksanaannya dijangka bermula pada 15 September ini, namun ramai lagi individu dewasa yang masih belum melengkapkan suntikan vaksinasi mereka.

Sudah sampai masanya bagi masyarakat melihat proses vaksinasi sebagai sesuatu yang sangat diperlukan untuk menjalani kehidupan yang normal, baik, sejahtera dan sihat. Maka, ramai pakar berpandangan vaksin harus diwajibkan khususnya untuk sektor tertentu seperti penjagaan kesihatan, pelancongan, pembuatan, pendidikan serta peruncitan.

Kekangan lain adalah, walaupun banyak kluster tempat kerja direkodkan, majikan tidak boleh menjadikan vaksinasi sebagai syarat untuk bekerja bagi pekerja sedia ada seperti yang diperuntukkan dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. Bagaimanapun, majikan mempunyai pilihan untuk menjadikan vaksinasi sebagai syarat pengambilan pekerja baharu.

Majikan juga boleh menghalang pekerja sedia ada daripada memasuki premis tempat kerja atau diletakkan sebagai bercuti tanpa gaji sekiranya mereka enggan divaksinasi tanpa alasan kukuh atau sehingga pandemik berakhir. Seharusnya pekerja faham bahawa vaksinasi bukan hanya berkisar tentang tempat kerja semata-mata tetapi ia diperlukan dalam usaha melindungi diri, rakan sekerja dan juga pelanggan.

Bagi mencatatkan peratusan pemvaksinan dan mempercepatkan pencapaian imunisasi kelompok, Amerika Syarikat mengeluarkan peraturan yang memperketat peraturan vaksinasi. Di New York, pas kesihatan yang dipanggil 'Key to NYC' telah dilancarkan. Individu di New York City (NYC) perlu mengemukakan bukti sudah menerima suntikan vaksin jika mahu pergi ke tempat tertutup seperti restoran, gimnasium atau melihat pertunjukan.

Kadar vaksinasi di bandaraya tersebut meningkat 40 peratus selepas Datuk Bandar memberikan pilihan kepada kakitangan dewan bandar raya itu sama ada divaksinasi atau berdepan ujian COVID-19 secara mingguan. Selain itu, individu yang telah disuntik vaksin juga mendapat baucar hadiah AS$100. Dalam meningkatkan peratusan penerimaan vaksin, menurunkan jumlah kes dengan lebih pantas dan mempercepatkan imunisasi kelompok, langkah yang dipraktikkan di Amerika Syarikat boleh dicontohi, khususnya menarik golongan ‘atas pagar’ dan anti-vaksin menerima vaksinasi.

BERNAMA

Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman merupakan pensyarah di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan/ Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM)

This article also can find out at

https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2004162&fbclid=IwAR2_Evsalj4j9stQCp_-842VesESJkbZVfVH4AXY_oTOdad9hHNTgSojxwI#abc

Date of Input: 22/09/2021 | Updated: 22/09/2021 | nooryati

MEDIA SHARING

INSTITUTE FOR SOCIAL SCIENCE STUDIES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
0389471876
BUKZGA:06:29