Kesan Cuaca Panas Kepada Tingkah Laku Kanak-kanak Sekolah | INSTITUTE FOR SOCIAL SCIENCE STUDIES
» ARTICLE » Kesan Cuaca Panas kepada Tingkah Laku Kanak-kanak Sekolah

Kesan Cuaca Panas kepada Tingkah Laku Kanak-kanak Sekolah

Mutakhir ini cuaca panas di Malaysia menjadi bualan orang ramai. Walaupun Jabatan Meterologi sudah memberikan amaran dan peristiwa cuaca panas di bulan Febuari hingga Mac atau April merupakan satu fenomina alam yang berlaku saban tahun, masyarakat di Malaysia masih tidak terjangka akan reaksi terhadap cuaca panas ini apatah lagi ianya berlaku di bulan Ramadhan. Kesan cuaca terhadap tingkah laku manusia pernah dihuraikan oleh bapa Sosiologi Muslim iaitu Ibn Khaldun di dalam buku beliau yang terkenal iaitu Muqaddimah. Menurut beliau kedudukan tempat di mana manusia itu tinggal akan mempengaruhi budaya, nilai, pekerjaan, cara pakai dan pemakanan masyarakat di kawasan tersebut. Manusia yang tinggal di kawasan yang iklimnya panas, tingkah laku mereka akan lebih kasar daripada mereka yang tinggal di kawasan sejuk. Kenyataan ini selaras dengan kajian oleh pengkaji terkini yang mendapati cuaca serta suasana panas akan meningkatkan tingkah laku agresif. Bagi golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan warga emas  mengharungi bulan Ramadhan dalam cuaca normal bukanlah mudah apatah lagi dalam keadaan terik seperti yang berlaku dalam tempoh seminggu dua ini. Justeru pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberikan maklumat serta kaedah bagaimana untuk menangani cuaca panas. Ini kerana sehingga 9hb Mac 2024 terdapat 15 kes melibatkan strok dan kelesuan haba di Malaysia dan melibatkan bukan sahaja golongan rentan malah anggota beruniform.

 

Mengurus fenomina perubahan cuaca yang sangat memberi kesan kepada manusia bukanlah sesuatu yang mudah. Ianya bukan sahaja memberi kesan kepada tingkah laku manusia malah seluruh ekosistem termasuk kepada hasil tanaman serta hasil laut dan seterusnya membawa kepada isu keterjaminan makanan yang lebih serius yang akhirnya memberi kesan kepada manusia itu sendiri. Dari segi psikologi, apabila berada dalam suasana yang mencabar, testosterone akan memberi isyarat kepada otak bahawa terdapat persaingan atau cabaran sosial dalam persekitaran dan perubahan dalam testosteron ini berlaku kerana ia menyediakan organisma untuk suatu interaksi yang kompetitif atau agresif. Justeru, salah satu respond kepada peningkatan hormon ini adalah tingkah laku yang lebih kasar serta agresif dalam menangani cabaran yang dihadapi. Komponen ini penting untuk kelangsungan hidup dan pembiakan, terutamanya semasa tempoh ketidakstabilan sosial.  

Dalam konteks apa yang berlaku di Malaysia mutakhir ini, di mana suhu tertinggi tercatat sehingga 36.9 darjah celsius di Chuping Perlis, cadangan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar pemakaian uniform sekolah dilonggarkan dan pakaian sukan yang lebih fleksible dibenarkan merupakan satu tindakan yang kecil tetapi memberikan kesan yang signifikan. Kebenaran ini melegakan banyak pihak terutama sekali ibubapa serta guru yang berhadapan dengan kanak-kanak kecil yang baru mula bersekolah di samping berlatih untuk berpuasa. Ia merupakan terjemahan konsep Ihsan yang menjadi salah satu teras MADANI di dalam kepemimpinan kerajaan sekarang. Empati serta sensitif dengan apa yang berlaku di persekitaran merupakan perkara penting dalam membentuk satu ekosistem masyarakat prihatin dan cakna. Ini juga bersesuaian dengan Islam itu sendiri yang melambangkan konsep ‘Rahmatan lil alamin’ iaitu agama yang membawa kesejateraan di muka bumi ini.

 Perubahan hormon dan tingkah laku pelajar  yang baru beradaptasi dengan keadaan sekolah juga perlu diberi perhatian oleh para guru dan pentadbir sekolah. Ini kerana pendedahan kepada suhu panas secara semula jadi meningkatkan kadar denyutan jantung di samping mengurangkan keselesaan, apatah lagi dalam suasana kelas yang mungkin jumlah muridnya mencecah 40 orang dan tiada pengudaraan yang baik. Suasana begini juga akan meningkatkan sikap agresif dan perasaan mementingkan diri serta permusuhan dalam kalangan kanak-kanak mahupun yang dewasa. Tekanan haba juga mengurangkan prestasi kognitif individu dan seterusnya mewujudkan suasana tidak selesa sehingga membuatkan individu menjadi cepat marah. Guru yang peka akan prestasi kognitif kanak-kanak yang merundum disebabkan oleh cuaca serta suasana panas boleh mempelbagaikan suasana agar kanak-kanak tidak terkesan teruk akan perubahan yang berlaku. Guru yang cakna berkaitan perkara ini akan lebih memahami serta lebih bertoleransi akan perubahan sikap yang berlaku kepada anak murid mereka. Mereka juga boleh menjelaskan kepada kanak-kanak akan kesan cuaca panas kepada mereka serta bagaimana mereka seharusnya menangani kesan tersebut. Kafahaman ini juga harus ada pada setiap ibubapa kerana apabila kanak-kanak ini balik dari sekolah mereka berpotensi untuk meragam dan perkara yang kecil boleh menjadi besar sekiranya tidak ditangani dengan baik. 

Berdasarkan data dan maklumat yang ada, semua pihak harus mengambil tanggung jawab bagi memastikan kesan akibat perubahan cuaca yang drastik ini diminimumkan sebanyak mungkin. Ianya harus di mulai oleh kepimpinan utama dengan menggubal polisi yang mampu diterjemahkan oleh pihak pemantau dan juga masyarakat secara amnya. Keberhasilan polisi ini merupakan terjemahan kepada apa yang akan didepani oleh generasi yang seterusnya. ‘Berat sama dipikul, Ringan sama dijinjing’, moga rakyat Malaysia cakna akan kepentingan serta bersama-sama memikul tanggung jawab ini untuk menghasilkan masyarakat yang lebih progresif dan positif dalam mendepani perubahan iklim yang berlaku.

Prepared by : Prof. Dr. Haslinda Abdullah, Director,  Institute  for Social Science Studies, Universiti Putra Malaysia

Date of Input: 24/07/2024 | Updated: 20/01/2026 | nm_aini

MEDIA SHARING

INSTITUTE FOR SOCIAL SCIENCE STUDIES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
X, (02:03:45am-02:08:45am, 31 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]