Menilai Tanggungjawab Pemilik Akaun Media Sosial di Malaysia
Oleh:
Dr. Syafila Kamarudin
Ketua Laboratori Generasi Siber
Institut Pengajian Sains Sosial
Universiti Putra Malaysia
Perkembangan pesat media sosial telah membuka ruang komunikasi tanpa sempadan, namun dalam masa yang sama turut menimbulkan pelbagai risiko berkaitan penyebaran kandungan sensitif. Isu sama ada pemilik akaun media sosial wajar dikenakan hukuman penjara sekiranya gagal memadam kandungan berbahaya semakin mendapat perhatian, khususnya dalam konteks perlindungan mangsa dan penguatkuasaan undang-undang digital di Malaysia.
Persoalan utama ialah sejauh mana hukuman penjara itu wajar dilaksanakan. Hukuman penjara tidak boleh dilihat sebagai penyelesaian umum untuk semua kes. Ia wajar dipertimbangkan secara selektif dan berkadar, terutamanya dalam kes serius seperti penyebaran imej intim tanpa persetujuan, kandungan melibatkan kanak-kanak, atau kegagalan mematuhi arahan pihak berkuasa. Dalam situasi sebegini, impak kepada mangsa adalah besar dan berpanjangan, justeru pendekatan tegas diperlukan.
Namun, bagi kes lain yang kurang serius, pendekatan denda dan tindakan pentadbiran di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 masih lebih sesuai. Pendekatan ini bukan sahaja lebih praktikal, malah memberi ruang kepada pendidikan dan kesedaran pengguna tanpa terus mengkriminalisasikan mereka secara berlebihan. Ini penting bagi memastikan sistem keadilan tidak menghukum pengguna biasa yang mungkin kurang celik digital atau tidak memahami implikasi undang-undang sepenuhnya.
Satu lagi cabaran besar dalam pelaksanaan undang-undang ini ialah pembuktian liabiliti jenayah. Dalam konteks perundangan, elemen niat atau mens rea menjadi aspek penting. Namun, dalam dunia media sosial yang bersifat pantas dan viral, menentukan niat serta tahap kawalan pemilik akaun terhadap sesuatu kandungan bukanlah sesuatu yang mudah. Kandungan boleh dikongsi semula oleh pelbagai pihak dalam masa yang singkat, mewujudkan “kawasan kelabu” dari segi tanggungjawab sebenar pengguna.
Berbeza dengan pengguna individu, platform digital mempunyai kawalan sistemik terhadap kandungan yang disebarkan. Oleh itu, membandingkan liabiliti antara pengguna dan platform memerlukan pertimbangan yang teliti. Pengguna mungkin memuat naik kandungan, tetapi penyebaran berskala besar sering dipacu oleh algoritma dan sistem platform itu sendiri.
Cadangan untuk menetapkan had masa seperti 48 jam bagi memadam kandungan sensitif juga perlu dinilai secara berhati-hati. Dari segi prinsip, ia merupakan langkah yang baik untuk memastikan tindakan pantas diambil. Namun, dalam konteks Malaysia, pelaksanaannya berdepan kekangan dari segi tahap kesedaran pengguna serta kapasiti pemantauan. Pendekatan ini mungkin lebih sesuai dikenakan ke atas platform berbanding individu, kerana platform mempunyai sumber dan teknologi untuk mengesan serta mengurus kandungan dengan lebih efektif.
Selain itu, terdapat risiko “over-removal” iaitu pemadaman kandungan secara berlebihan yang boleh menjejaskan kebebasan bersuara. Dalam usaha melindungi mangsa, kita tidak boleh mengabaikan hak pengguna untuk bersuara secara sah dan bertanggungjawab.
Justeru, keseimbangan antara melindungi mangsa dan mengelakkan overcriminalisation perlu menjadi asas kepada sebarang dasar atau undang-undang yang diperkenalkan. Pendekatan penguatkuasaan berperingkat dilihat sebagai jalan terbaik. Ia boleh dimulakan dengan pendidikan dan notis, diikuti dengan penalti, dan hanya kes-kes serius dibawa ke tahap tindakan jenayah. Pendekatan ini bukan sahaja lebih adil, tetapi juga membantu membentuk budaya penggunaan media sosial yang lebih bertanggungjawab.
Dalam masa yang sama, tanggungjawab tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada pengguna. Platform seperti Meta Platforms dan TikTok perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam mengesan serta memadam kandungan berbahaya. Seiring dengan trend global, akauntabiliti syarikat teknologi semakin menjadi keutamaan kerana mereka mempunyai kawalan besar terhadap ekosistem digital dan bagaimana kandungan disebarkan.
Kesimpulannya, isu hukuman penjara terhadap pemilik akaun media sosial memerlukan pendekatan yang seimbang dan berhemah. Penjara bukanlah jawapan untuk semua keadaan, tetapi ia tetap relevan bagi kes yang benar-benar serius. Apa yang lebih penting ialah membina ekosistem digital yang selamat melalui gabungan penguatkuasaan undang-undang, pendidikan pengguna, dan tanggungjawab bersama antara individu dan platform.
Dalam dunia digital yang semakin kompleks, keadilan bukan sahaja terletak pada hukuman, tetapi juga pada kebijaksanaan dalam melaksanakannya.
Date of Input: 08/05/2026 | Updated: 08/05/2026 | alyarahim

Putra InfoPort
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA