POTENSI BANGUN AIR BAWAH TANAH | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » POTENSI BANGUN AIR BAWAH TANAH

POTENSI BANGUN AIR BAWAH TANAH

Sumber air bawah tanah ialah air yang terdapat dalam lapisan akuifer bawah tanah iaitu terbentuk secara geologikal melalui batu, pasir dan kerikil yang menampung air dalam kuantiti yang banyak. Potensi air bawah tanah adalah lebih tinggi berbanding potensi air permukaan merangkumi air sungai, takungan tasik dan empangan yang mana, lebih dari 95 peratus air tawar dunia yang boleh dibangunkan adalah air bawah tanah.

Negara Denmark, Jepun, Indonesia dan Thailand telah lama membangunkan sumber air ini sebagai sumber bekalan air kepada penduduk. Denmark misalnya menggunakan 99 peratus air bawah tanah sebagai sumber air menyebabkan negara tersebut tidak terlalu bergantung kepada air permukaan sebagai sumber air mentah. Di Malaysia pula, air bawah tanah digunakan sebagai sumber air minuman di negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak. Bagi Kelantan penggunaan telaga tiub atau dipanggil telaga boring amat meluas.

Di Semenanjung Malaysia, air hujan yang turun akan mengalir ke sungai (43 peratus) manakala sebahagiannya akan kembali ke udara melalui proses sejatan (51peratus) dan bakinya akan menyusup ke dalam tanah dan menjadi air bawah tanah (6 peratus). Air yang menyusup ke dalam tanah ini akan menjadi storan air tanah dengan purata kadar aliran air bawah tanah adalah 0.2 – 20 m/hari membuktikan air tawar banyak terdapat dalam tanah berbanding di permukaan, apatah lagi pada musim kemarau berpanjangan yang mana air yang mengalir di sungai adalah air bawah tanah yang muncul di permukaan tanah melalui mata air.

Maka, potensi sumber air bawah tanah wajar dibangunkan sebagai satu sumber alternatif yang boleh diterokai serta dimanfaatkan bagi menghadapi ancaman terhadap sumber air permukaan. Apatah lagi dengan kekerapan gangguan bekalan air tidak berjadual menyebabkan pengguna terpaksa menanggung beban dan kesengsaraan apabila terputus bekalan air untuk beberapa hari. Justeru, langkah meningkatkan rizab air dengan mencari sumber lain seperti air bawah tanah adalah antara pilihan terbaik bagi menjamin sumber air daripada sebarang krisis selain tidak terlalu bergantung kepada sumber air dari sungai semata-mata.

Namun di Malaysia, penggunaan air bawah permukaan tanah masih minimum. Faktor utama adalah, negara mempunyai sungai mengalir sepanjang tahun yang menjadi sumber utama bekalan, selain pengurusan mendapatkan air daripada sungai lebih mudah. Hakikatnya, Malaysia mempunyai sumber air tanah tinggi dan sepatutnya menjadi alternatif bagi menampung keperluan bekalan air, terutama ketika berlaku pencemaran kepada bekalan air permukaan. Namun, penggunaan air bawah tanah di Malaysia kurang daripada tiga peratus berbanding negara lain, sedangkan negara mempunyai sumber air tanah berkapasiti 5,000 bilion meter padu dengan keupayaan penjanaan semula sebanyak 64 bilion meter padu setahun. Kapasiti ini sangat besar dan sudah tentu berupaya menjadi sumber alternatif bekalan air negara. Simpanan sumber air bawah tanah yang banyak tersebut boleh dimanfaatkan dalam usaha menangani masalah bekalan air bersih terutama apabila berlaku musim kemarau, banjir atau pencemaran sungai yang tidak dapat dijangka.

Sungguhpun pembangunan air bawah tanah memerlukan kos yang agak tinggi, secara jangka panjang ia mempunyai banyak kebaikan. Justeru, penggunaan sumber air bawah tanah perlu ditingkatkan bagi menyokong keperluan bekalan air bersih kerana ianya sangat bernilai dan sukar untuk tercemar disebabkan wujudnya penapis semula jadi dan jauh di dalam bumi selain kaya dengan bahan mineral menyebabkan ia boleh terus digunakan sebagai air minuman Di samping itu, enap cemar yang terhasil daripada rawatan air bawah tanah adalah jauh lebih rendah kerana kejernihan air tanah menyebabkan rawatan untuk air bawah tanah adalah pada kadar yang minima. Menurut Air Kelantan Sdn Bhd, di Negeri Kelantan kos operasi air permukaan adalah 29.3 sen/m3 manakalah kos operasi air bumi adalah 21.8 sen/m3). Hakikatnya, kelebihan menggunakan air bawah tanah memang tidak dapat dinafikan. Lantaran, pengurusan lestari kawasan tadahan adalah sangat penting untuk meningkatkan sumber air permukaan tetapi juga sumber air bawah tanah.

Tarikh Input: 07/10/2022 | Kemaskini: 07/10/2022 | nooryati

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXDcVAZ~