Oleh : JEFFREY LAWRENCE D’SILVA, PhD
Novel berbahasa Melayu merupakan wadah penting dalam perkembangan sastera negara, khususnya dalam membentuk pemikiran dan budaya membaca dalam kalangan generasi muda. Kajian terkini yang dilaksanakan oleh penulis melibatkan 262 orang belia berumur antara 15 hingga 30 tahun memberikan gambaran menyeluruh tentang sejauh mana novel berbahasa Melayu ini diterima serta dinilai dari sudut kualiti. Dalam era digital yang semakin mencabar budaya pembacaan konvensional, memahami pola minat serta faktor yang mempengaruhi penerimaan belia menjadi keperluan strategik bagi memastikan kelangsungan karya sastera tempatan.
Hasil kajian menunjukkan bahawa belia masih mempunyai apresiasi yang signifikan terhadap novel berbahasa Melayu, namun pemilihan mereka semakin dipengaruhi oleh aspek kualiti naratif, nilai tambah serta daya tarikan visual seperti kulit buku dan rangsang sari. Genre yang memberikan kesan emosi yang mendalam dan mempunyai jalan cerita yang kemas serta relevan dilihat paling menarik perhatian. Ini menandakan bahawa belia tidak sekadar membaca untuk hiburan, tetapi turut mencari karya yang mempunyai makna dan mampu memberikan refleksi terhadap pengalaman hidup mereka.

Dari sudut kualiti, pembaca muda menekankan keperluan penggunaan bahasa yang baik dan tidak terlalu bercampur aduk dengan bahasa asing. Mereka juga lebih menghargai ciri penulisan yang mempamerkan identiti penulis, dengan gaya bahasa yang lebih asli dan tidak dipengaruhi trend luar secara berlebihan. Saiz tulisan, jenis font serta struktur penceritaan turut menjadi faktor penentu, kerana ia mempengaruhi tahap keselesaan sepanjang proses pembacaan. Menariknya, kajian juga mendapati bahawa novel yang berpotensi untuk diadaptasi ke skrin lebih mendapat perhatian, menunjukkan wujudnya kecenderungan belia ke arah kandungan yang bersifat multidimensi dan visual.

Dari segi penerimaan pula, kandungan yang memberi nilai tambah merupakan elemen paling penting. Novel yang mampu menawarkan ilmu baharu, pandangan hidup, serta pencerahan tentang isu sosial kontemporari lebih mudah diterima. Selain itu, novel yang bersifat santai tetapi berkualiti digemari kerana ia memberikan pengalaman membaca yang lebih mudah difahami, terutama dalam gaya hidup belia yang serba pantas. Faktor luaran seperti dorongan keluarga dan kecenderungan membeli novel daripada penerbit tertentu juga memberi impak, meskipun skor ini didapati lebih rendah untuk novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Kajian turut merumuskan bahawa DBP berpotensi memperkukuh semula kedudukan sebagai penerbit utama novel Melayu dengan memfokus kepada beberapa strategi utama. Antaranya ialah mempertingkatkan elemen visual novel, mengukuhkan gaya bahasa yang segar tetapi tetap memartabatkan Bahasa Melayu, serta menyesuaikan tema dan genre agar lebih selari dengan realiti belia masa kini. Pembinaan kerjasama dengan penulis muda yang memahami selera generasi baharu juga boleh meningkatkan penerimaan pasaran.
Secara keseluruhannya, kajian ini menunjukkan bahawa novel Melayu masih mempunyai ruang besar dalam hati belia negara. Namun, bagi memastikan kelangsungan minat ini, penerbit dan penulis perlu lebih responsif terhadap keperluan generasi muda yang sentiasa berubah. Dengan kualiti yang dipertingkat dan strategi penerbitan yang lebih dinamik, novel berbahasa Melayu mampu terus relevan serta kekal menjadi medium pembinaan budaya ilmu dalam kalangan belia Malaysia.
Tarikh Input: 21/11/2025 | Kemaskini: 20/01/2026 | nm_aini
