Oleh
Mersiana Kahar
Asap berlegar di hujung jari,
Kelihatan indah di mata remaja,
Disangka trend penawar diri,
Rupanya racun meragut masa depan belia.

Dalam lipatan zaman yang kian mencabar, tidak dinafikan lagi banyak tren terkini yang telah mempengaruhi minda masyarakat terutama dalam kalangan belia. Vape sering dianggap sebagai satu alternatif moden kepada rokok konvensional dan dilihat lebih “selamat” oleh sesetengah pihak. Bukan itu sahaja, vape kini muncul bukan sekadar alat, tetapi ia amat dipuja dan diagung-agungkan.
Ketagihan dalam kalangan belia menyebabkan mereka bebas menggunakannya di mana sahaja dengan perisa yang menjadi pilihan mereka. Asap nipis yang dilepaskan, seolah-olah membawa kepada ketenangan dalam kehidupan. Namun begitu, disebalik asap vape yang kelihatan tidak berbahaya, tersembunyi pelbagai realiti pahit yang wajar diberi perhatian serius. Persoalannya, apakah sebenarnya yang dicari oleh belia disebalik kepulan asap? Adakah kerana keinginan untuk kelihatan matang, atau kerana media sosial mengangkatnya sebagai simbol gaya hidup moden?
Gelombang pengaruh rakan sebaya dan media sosial bertindak seperti api membakar jerami kering. Belia lazimnya mudah terikut-ikut dengan perlakuan rakan lain demi menjaga imej dan juga populariti mereka. . Selain itu, pengaruh media sosial juga adalah virus yang memberi pendedahan kepada remaja berkaitan dengan penggunaan vape dalam kalangan masyarakat.
Pengaruh media sosial bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan penggunaan vape, akan tetapi ia juga telah mengubah persepi belia dimana vape digambarkan sebagai sesuatu yang menarik, bergaya dan tidak memudaratkan. Paparan belia yang bergaya atau “berposing” dengan vape di tangan membina ilusi bahawa perbuatan itu melambangkan keberanian dan kebebasan. Tanpa disedari, kajian daripada National Health and Morbidty Servay mendapati penggunaan vape dalam kalangan belia meningkat daripada 9.8% pada tahun 2017 kepada 14.9% pada tahun 2022.
Lebih membimbangkan, vape sering dianggap dan dipersembahkan sebagai alternatif yang “Selamat” dari rokok biasa. Namun, kandungan nikotin yang tinggi pada flavour vape akan membawa ketagihan yang melampau dan ini sekaligus memberi kesan negatif terhadap kesihatan remaja terutamanya bagi sistem pernafasan dan juga perkembangan otak remaja yang belum berkembang sepenuhnya.
Implikasi trend vape ini bukan sekadar dapat memudaratkan kesihatan dan perkembangan otak, malah ia juga meresap dalam aspek emosi dan masa depan. Remaja yang terperangkap dalam ketagihan ini akan bertukar perwatakan tanpa disedari dan lazimnya remaja akan kerap berdepan dengan keresahan, emosi yang tidak stabil, masalah sosial dan kemerosotan terhadap prestasi akademik. Malangnya, impian yang sebelum ini tersusun rapi dan sedang dibina, akhirnya runtuh perlahan-lahan, lenyap ditelan asap yang sementara.
Kesimpulannya, di sebalik asap vape yang kelihatan mempesona, tersembunyi realiti pahit yang mengancam masa depan belia hari ini. Jika fenomena ini dibiarkan berterusan, generasi yang sepatutnya menjadi tonggak negara akan hanyut dalam kabus ketagihan. Hal ini kerana, isu vape bukan perkara yang boleh dipandang sebagai trend terkini sahaja, tetapi juga dilihat sebagai satu cabaran yang merosakan generasi muda dan akan datang. Oleh itu, belia harus bangkit dengan kesedaran, memilih jalan yang membina, bukan yang membinasakan.
Date of Input: 19/01/2026 | Updated: 19/01/2026 | alyarahim

Putra InfoPort
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA