ERTI JIWA BELIA YANG MERDEKA | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » ERTI JIWA BELIA YANG MERDEKA

ERTI JIWA BELIA YANG MERDEKA

Artikel asal sebelum diterbitkan dalam Berita Harian dengan suntingan pada 2 September 2020

Oleh Dzuhailmi Dahalan

Kemerdekaan adalah satu nikmat yang besar. Kita akan merasa sesuatu perkara itu sebagai nikmat, bila perkara itu sendiri lenyap daripada diri kita. Seorang yang sakit tiada selera makan, akan merasai sihat itu satu nikmat. Maka, dia akan melakukan pelbagai usaha supaya sihat kembali dalam kehidupannya. Begitu halnya dengan kemerdekaan, kita perlu menganggapnya sebagai nikmat yang tidak ternilai dengan mengisinya supaya ia terus terpelihara.

Umum mengetahui, belia berhadapan dengan pelbagai cabaran getir dalam mengisi nikmat kemerdekaan. Sesetengah mereka hanyut dan leka dengan jalan yang dipilih oleh mereka sendiri. Namun, masih ada yang berjaya mendepani cabaran semasa tanpa menggadaikan maruah agama, bangsa dan negara. Ini berlaku kerana jiwa mereka sentiasa dahagakan petunjuk ilahi, selain melazimi niat untuk sentiasa belajar di dalam menguruskan kehidupan.

Di dalam memenuhi segala keinginan, kemerdekaan tidak boleh diterjemah oleh belia sebagai memiliki kebebasan yang mutlak. Benar belia mempunyai pilihan. Tetapi asasnya perlu disoal, adakah pilihan yang saya lakukan bertentangan dengan perintah Allah swt atau tidak. Sebab itu ada hadith sahih riwayat Imam Muslim menyatakan “Dunia adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir”.

Seseorang yang dipenjara, tidak bebas melakukan apa sahaja. Penjara penuh dengan peraturan yang ketat serta tidak boleh diingkari. Tidak semua keinginan seseorang yang dipenjara dapat dipenuhi. Sebagaimana, penguasa penjara menjanjikan kebebasan atas setiap peraturan yang dipatuhi oleh ahli penjara, begitu juga Allah swt adalah zat yang tidak pernah dan tidak akan memungkiri janji-Nya. Mereka yang sentiasa mendahulukan agama dalam tindak-tanduk mereka, pasti dan pasti tidak akan dikecewakan oleh Allah swt.

Oleh itu, jiwa belia perlu dihiasi bagi mencapai maksud jiwa yang merdeka. Menghiasi jiwa (roh) tidak harus disamakan seperti menghiasi jasad (raga). Sebab, penciptaan manusia itu sendiri terdiri daripada unsur roh dan jasad. Makanan roh dan jasad juga berbeza. Makanan roh adalah daripada langit, sementara makanan jasad adalah daripada bumi. Sesetengah cendekiawan menjelaskan kedudukan langit yang tinggi menjadikan unsur roh lebih mulia dan utama untuk dihiasi berbanding unsur jasad yang dikaitkan dengan kedudukan bumi yang lebih rendah daripada langit.

Ini tidak sekali-kali bermakna belia perlu meninggalkan segala asbab kehidupan yang disediakan oleh Allah swt dengan alasan untuk menghiasi roh. Kita diperintah untuk menggunakan asbab, tetapi perlu meyakini bahawa segala manfaat, mudharat, faedah, bahaya, kemuliaan dan kehinaan yang terhasil daripada asbab adalah datang daripada musabibul asbab. Penciptaan asbab oleh Allah swt adalah untuk menta’arufkan kehebatan-Nya sebagai zat yang maha mencipta. Oleh sebab itu, meyakini asbab dapat memberi manfaat atau mudharat adalah kesyirikan, sementara meninggalkan asbab pula adalah kejahilan.

Mengisi jiwa dengan i’tiqad yang betul inilah merupakan intipati kepada jiwa yang merdeka. Para salafusolleh kita terdahulu telah membina asas ini, sehingga di dunia pun Allah swt telah mengangkat martabat dan kedudukan mereka. Adalah dikatakan zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khatab r.a, dua pertiga dunia di bawah tapak kaki orang Islam. Empayar Rom dan Parsi, runtuh. Allah swt campakkan kegerunan terhadap orang Islam dalam hati orang kafir dan memberi nusrah (pertolongan) langsung kepada mereka walaupun Nabi saw tidak bersama dengan mereka. Dikhabarkan tidak ada orang Islam yang layak untuk terima zakat pada waktu itu.

 

Walhal apakah keadaan para sahabat sebelum itu. Kejahilan berleluasa. Menyembah 360 berhala di sekeliling Ka’abah. Membunuh anak perempuan hidup-hidup. Mempertaruhkan wanita hamil dalam perjudian mereka dengan meneka jantina yang dikandung. Kuasa besar pada waktu itu tidak sanggup untuk menakluki mereka kerana bimbang dihinggapi penyakit moral.

Namun setelah itu, mereka telah diislahkan melalui petunjuk hidayat. Sepertimana firman Allah swt:  “Dan orang terdahulu yang mula-mula (berhijrah) dari orang Muhajirin dan Ansar, dan orang yang menuruti (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, itulah kemenangan yang besar.” (At-Taubah: 100).

Imam Malik rahmatullahialaih pernah berkata “Umat mutakhir tidak dapat diislahkan selagi mereka tidak mengikuti cara orang terdahulu (para sahabat) diislahkan”. Oleh itu, pengisian jiwa belia yang merdeka perlu berlandaskan kaedah yang betul, selari dengan petunjuk Al-Quran, As-Sunnah dan sirah para sahabat dengan bimbingan guru yang mursyid. Hanya setelah itu, cita-cita untuk menyatukan umat ini akan terzahir, kasih sayang dan sifat belas kasihan akan wujud di mana-mana dan tidak berlaku kerosakan melalui tangan-tangan orang Islam.

Justeru, sebagaimana belia memahami untuk menghiasi jasad perlu kepada tenaga dan pengorbanan masa rehat, maka begitulah usaha untuk menghiasi jiwa yang merdeka turut berhajatkan perkara yang sama. Semoga Allah swt mengurniakan taufiq kepada belia kita.             

Dzuhailmi Dahalan
Pegawai Penyelidik Sosial
Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia
Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
dzuhailmi@upm.edu.my

Tarikh Input: 02/09/2020 | Kemaskini: 03/09/2020 | nm_aini

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXDdOAD~