Oleh:
Sharon Joanes Anak James

Dalam era digital hari ini, media sosial telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian masyarakat. Walaupun teknologi memudahkan komunikasi dan perkongsian maklumat, pendedahan berlebihan kepada kehidupan orang lain turut mencetuskan tekanan emosi yang semakin ketara. Salah satu fenomena yang sering berlaku tanpa disedari ialah Fear of Missing Out atau FoMO, iaitu perasaan cemas dan takut apabila seseorang merasakan dirinya ketinggalan daripada pengalaman menarik yang dialami oleh orang lain.
Fenomena FoMO sering timbul apabila individu terdedah secara berterusan kepada kandungan media sosial yang memaparkan kejayaan, gaya hidup mewah dan momen bahagia. Paparan ini mendorong perbandingan sosial yang tidak seimbang apabila kehidupan sebenar dibandingkan dengan gambaran ideal yang dipilih dan ditapis untuk tontonan umum. Akibatnya, individu mudah berasa tidak puas hati terhadap diri sendiri dan berasa takut terlepas peluang menikmati pengalaman yang dianggap lebih bermakna.
Di Malaysia, penggunaan media sosial semakin meluas dan menjadi sebahagian penting dalam kehidupan seharian. Berdasarkan Data Reportal: Global Digital Insights, seramai 26.8 juta rakyat Malaysia atau 78.5 peratus penduduk merupakan pengguna media sosial pada Januari 2023, dan angka ini meningkat kepada 28.68 juta orang atau 83.1 peratus pada Januari 2024. Platform seperti WhatsApp, Facebook dan Instagram mendominasi penggunaan harian, terutamanya dalam kalangan individu berumur 18 hingga 44 tahun. Situasi ini menjadi lebih ketara selepas pandemik COVID-19 apabila interaksi sosial banyak beralih ke platform digital.
Penggunaan media sosial yang tinggi ini secara tidak langsung meningkatkan risiko FoMO. Individu cenderung menghabiskan masa berlebihan di media sosial untuk mengikuti perkembangan orang lain sehingga mengabaikan rutin harian dan kesejahteraan emosi sendiri. Dalam jangka panjang, FoMO boleh mencetuskan perasaan cemas, gelisah dan tekanan psikologi yang menjejaskan fokus, produktiviti serta kualiti hidup.
Selain kesan terhadap kesihatan mental, FoMO turut mempengaruhi tingkah laku kewangan, khususnya dalam kalangan golongan muda. Tekanan untuk mengikuti trend gajet, fesyen dan gaya hidup yang tular di media sosial mendorong pembelian tidak terancang dan perbelanjaan melebihi kemampuan. Situasi ini menyumbang kepada masalah kewangan yang semakin membimbangkan. Data Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit 2024 menunjukkan bahawa seramai 53,000 individu di bawah usia 30 tahun terbeban dengan hutang terkumpul hampir RM1.9 bilion, sekali gus mencerminkan kesan FoMO terhadap pengurusan kewangan belia masa kini.
Kesimpulannya, FoMO merupakan isu senyap yang semakin ketara dalam masyarakat digital. Walaupun media sosial menawarkan pelbagai manfaat, penggunaan yang tidak seimbang boleh membawa kesan negatif terhadap emosi, tingkah laku dan kesejahteraan hidup. Oleh itu, kesedaran tentang FoMO serta amalan penggunaan media sosial secara berhemah amat penting agar teknologi dapat dimanfaatkan secara sihat tanpa menjejaskan kesejahteraan mental dan kewangan.
Date of Input: 19/01/2026 | Updated: 20/01/2026 | alyarahim

Putra InfoPort
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA