By:
Prof. Dr. Haslinda Abdullah
Pengenalan
"Dua kaki terpaksa berjalan, satu kaki di atas tanah, satu kaki di atas batu."
Begitulah perumpamaan individu yang berperanan sebagai generasi sandwich. Konsep ’Sandwich Generation’mula diperkenalkan oleh Dorotthy Miller seawal 1981, walau bagaimanapun konsep ini mula diterima oleh kamus pada 2016. Generasi sandwich merujuk kepada individu yang berada di antara dua generasi yang memerlukan perhatian dan sokongan, iaitu menjaga dan menyara ibu bapa yang semakin tua, sambil pada masa yang sama menguruskan anak-anak yang masih bergantung pada mereka. Individu ini berperanan menjaga kedua-dua generasi. Fenomena ini semakin ketara di Malaysia, terutamanya dalam kalangan golongan pekerja dewasa yang mempunyai tanggungjawab yang berat dalam menjaga dua generasi yang berbeza.
Situasi Generasi Sandwich di Malaysia
Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia ke-5 menunjukkan 70% warga emas di Malaysia tinggal dengan keluarga. Dari jumlah tersebut, 68.2% adalah wanita iaitu sejumlah 6 juta. Wanita yang merupakan individu generasi sandwich sering menghadapi pelbagai cabaran, terutama dari segi kewangan, masa, tenaga dan sokongan. Kadar penurunan kelahiran yang rendah dan peningkatan jangka hayat menyebabkan lebih ramai individu yang terpaksa merawat ibu bapa yang sudah berusia, sementara itu pada masa yang sama, mereka juga bertanggungjawab untuk memastikan kesejahteraan anak-anak mereka di samping kesihatan dan kesejahteraan mereka sendiri. Masalah ini lebih ketara dalam kalangan golongan pertengahan umur yang masih aktif bekerja, tetapi terpaksa membahagikan perhatian antara pekerjaan dan penjagaan keluarga. Walaupun kerajaan Malaysia ada menyediakan pelbagai bentuk bantuan untuk warga emas, ramai yang masih berhadapan dengan cabaran besar dalam menyelesaikan tanggungjawab terhadap orang tua dan anak-anak.
Statistik Generasi Sandwich di Malaysia
Menurut statistik dari Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat peningkatan populasi warga emas di negara ini. Pada 2020, jumlah penduduk berumur 60 tahun ke atas adalah sekitar 2.2 juta orang atau 9.4% daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia. Dijangkakan Malaysia akan menjadi negara tua pada 2030 iaitu dalam 5 tahun lagi. Angka ini dijangka meningkat kepada 15.3% pada tahun 2040. Fenomena ini menyebabkan lebih ramai individu terpaksa menjadi penjaga bagi golongan warga emas.
Cabaran Kewangan dan Emosi
Generasi sandwich sering berhadapan dengan cabaran kewangan yang serius, kerana mereka harus menanggung kos perubatan, penjagaan harian, dan keperluan ibu bapa yang semakin tua, selain menyara anak-anak yang masih belajar atau memerlukan sokongan kewangan. Kos perubatan untuk warga emas juga meningkat, dan bagi keluarga yang kurang bernasib baik, ia boleh menjadi beban yang cukup besar.
Di samping itu, cabaran emosional juga tidak kurang hebatnya. Mereka terpaksa mengimbangi perasaan tertekan dan keletihan akibat menghadapi tuntutan dari dua pihak yang berbeza, yang kadang-kadang boleh menjejaskan kesejahteraan mental mereka. Kajian oleh Persatuan Psikologi Malaysia mendapati bahawa lebih 60% daripada golongan generasi sandwich melaporkan perasaan tertekan dan cemas, terutamanya dalam menguruskan masa antara kerja dan penjagaan keluarga. Ini seterusnya akan memberikan kesan kepada produktiviti kerja mereka.
Peranan dan Penyelesaian
Menangani isu generasi sandwich memerlukan pendekatan yang menyeluruh dan bersepadu. Ini bukan sahaja melibatkan individu yang terlibat, tetapi juga sokongan daripada keluarga, komuniti, dan pihak kerajaan. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil untuk menangani isu ini:
- Mewujudkan Sokongan Keluarga
- Pembahagian Tanggungjawab: Suasana ini sebenarnay masih boleh dilihat di kampung tradisi di mana ‘konsep ‘extended family’ masih kuat. Keluarga boleh bekerja bersama-sama untuk membahagikan tugas penjagaan dan sokongan kewangan. Ahli keluarga lain juga boleh bekerjasama bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh satu individu sahaja.
- Komunikasi Terbuka: Mengadakan perbincangan terbuka mengenai keperluan dan jangkaan masing-masing, serta mencari jalan penyelesaian secara bersama merupakan antara kaedah untuk mengurangkan konflik. Ini membantu dalam memahami perasaan dan tekanan yang dihadapi oleh individu yang berada dalam generasi sandwich.
- Peningkatan Kesedaran dan Pendidikan
- Meningkatkan Pengetahuan tentang Generasi Sandwich: Masyarakat perlu lebih peka mengenai isu ini, supaya generasi sandwich tidak berasa sendirian atau terpinggir. Pendidikan dan kesedaran awam boleh membantu mereka yang terlibat memahami masalah yang dihadapi dan memberi ruang untuk mencari sokongan.
- Pendidikan Kewangan: Oleh kerana tanggung jawab yang bertambah, memberikan pendidikan kewangan kepada individu dalam generasi sandwich untuk membantu mereka merancang kewangan dengan lebih baik, merupakan satu kemahiran yang mereka perlu ada.
- Sokongan Kerajaan
- Program Penjagaan Orang Tua: Kerajaan boleh menyediakan program atau insentif bagi individu yang menjaga orang tua, seperti memberikan bantuan kewangan, cuti penjagaan, atau pusat penjagaan yang lebih mampu milik. Kerajaan Malaysia telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk membantu generasi sandwich, antaranya melalui Program Warga Emas yang menyediakan bantuan kewangan, serta subsidi perubatan untuk warga emas. Selain itu, kemudahan penjagaan jangka panjang dan pusat jagaan warga emas juga semakin banyak diwujudkan bagi membantu mereka yang memerlukan perkhidmatan ini.
- Dasar Pekerjaan Fleksibel: Menyediakan dasar kerja fleksibel seperti waktu kerja yang boleh disesuaikan atau bekerja dari rumah untuk membantu individu mengimbangi tanggungjawab kerja dan penjagaan keluarga.
- Bantuan Kewangan: Menawarkan bantuan kewangan atau subsidi kepada keluarga yang terpaksa menyokong kedua-dua generasi. Ini boleh membantu mengurangkan tekanan kewangan yang dihadapi oleh generasi sandwich.
- Penyelesaian Kesihatan Mental
- Sokongan Psikologi: Individu yang terlibat dalam generasi sandwich mungkin mengalami tekanan emosi yang besar. Oleh itu, terapi dan sokongan psikologi boleh membantu mereka menangani masalah stres, kemurungan, dan keletihan.
- Kumpulan Sokongan: Menyertai kumpulan sokongan di mana individu dapat berkongsi pengalaman dan nasihat boleh memberikan rasa kekitaan dan mengurangkan rasa keseorangan dalam menghadapi cabaran.
- Sokongan masyarakat sekitar: Mendapat sokongan mereka yang terlibat serta masyarakat sekitar memberikan kelegaan kepada generasi sandwich dalam menghadapi beban perasaan yang ditanggung.
- Menggunakan Teknologi untuk Membantu
- Aplikasi Penjagaan: Menggunakan teknologi seperti aplikasi penjagaan untuk membantu menguruskan janji temu perubatan, pengurusan kewangan, dan jadual penjagaan boleh mengurangkan beban logistik.
- Platform Sokongan Online: Platform dalam talian yang menyediakan sokongan, perbincangan, atau informasi boleh membantu individu berhubung dengan orang lain yang berada dalam situasi yang sama.
- Mencari Bantuan Profesional
- Pengasuh Profesional: Dalam kes di mana penjagaan langsung mungkin terlalu berat, mengupah pengasuh profesional atau mencari pusat penjagaan boleh mengurangkan beban penjagaan harian. Ini membolehkan individu dalam generasi sandwich memberi fokus kepada aspek lain dalam kehidupan mereka.
- Mengutamakan Kesejahteraan Peribadi
- Masa untuk Diri Sendiri: Walaupun sibuk dengan tanggungjawab, penting bagi individu dalam generasi sandwich untuk mencari masa untuk diri mereka. Ini boleh dilakukan dengan melakukan aktiviti yang menenangkan, bersosial dengan rakan-rakan, atau melibatkan diri dalam hobi untuk mengurangkan stres.
- Berlatih Pengurusan Stres: Teknik-teknik pengurusan stres seperti meditasi, yoga, dan senaman boleh membantu individu menjaga kesejahteraan fizikal dan mental mereka.
- Menjaga Keseimbangan Kehidupan dan Kerja
- Perancangan Kerjaya yang Fleksibel: Menyesuaikan kerjaya dengan keadaan keluarga adalah penting. Individu mungkin perlu berbincang dengan majikan untuk mendapatkan waktu kerja yang lebih fleksibel, supaya mereka dapat memberi perhatian kepada keluarga tanpa mengabaikan komitmen pekerjaan.
- Bekerja dalam Tim: Memahami bahawa setiap individu mempunyai had dan tidak perlu memikul semuanya sendirian. Bekerja dalam tim dan meminta sokongan apabila perlu adalah penting untuk mencegah keletihan.
Kesimpulan
Dalam konteks Malaysia, Generasi sandwich merupakan kelompok yang berhadapan dengan pelbagai cabaran yang berganda, dari segi kewangan, masa, dan tekanan emosi. Walaupun demikian, mereka perlu terus memainkan peranan penting dalam keluarga dan masyarakat. Oleh itu, usaha berterusan perlu dilakukan untuk menyediakan sokongan yang lebih baik, termasuk perkhidmatan penjagaan warga emas, sokongan kewangan, serta kemudahan bagi meringankan beban mereka. Generasi sandwich adalah sebahagian daripada asas kekuatan masyarakat Malaysia yang perlu diberikan perhatian lebih.
Date of Input: 04/03/2025 | Updated: 20/01/2026 | nm_aini
MEDIA SHARING