JANGAN LEKA KITA BELUM MENANG | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » JANGAN LEKA KITA BELUM MENANG

JANGAN LEKA KITA BELUM MENANG

Artikel asal sebelum diterbitkan dalam Sinar Harian dengan suntingan pada 24 Ogos 2020

Oleh Haliza Abdul Rahman

 

Prof Madya Alex Cook dari Sekolah Perubatan Duke-National University of Singapore (NUS) berkata jumlah sebenar jangkitan COVID-19 di seluruh dunia mungkin lebih 10 kali ganda berbanding jumlah yang dilaporkan. Di Malaysia, situasi jangkitan kes COVIC-19 kala ini menunjukkan tren yang agak membimbangkan dengan laporan jangkitan kes yang turun naik, kewujudan beberapa kluster baru, kewujudan ‘super spreader’ selain beberapa perkembangan baru seperti peningkatan kes import dan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura.

Sehingga 18 Ogos, sejumlah 9,219 kes dilaporkan dengan 192 kes aktif dan 125 kematian (1.36 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). Negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia seperti Kedah dan Pulau Pinang terus mencatatkan peningkatan kes baru harian dari kluster Tawar dan kluster Sala. Rentetan itu, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mana sehingga 17 Ogos seramai 273 orang telah disaring dalam kluster Tawar dan seramai 1,135 orang telah disaring dalam kluster Sala. Melihat jumlah kes, tindakan tersebut diperlukan untuk membasmi dan mengawal wabak selaras dengan saranan WHO melalui langkah mengasingkan, menguji, merawat dan mengesan sebagai cara terbaik, berkesan lagi terpantas bagi memutuskan rantaian penyebaran.

 

FAKTOR YANG HARUS DIBERI PERHATIAN

Menyentuh tentang 'super spreader', langkah kuarantin sangat penting dipatuhi sepenuhnya oleh individu terlibat. Ini kerana virus punca penyakit COVID-19 dengan mutasi D614G didapati 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain dan mudah merebak sekiranya disebar oleh individu 'super spreader' seperti daripada Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga dan Kluster Ulu Tiram. Menurut Pakar virologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar, virus mengalami mutasi demi memenuhi matlamat utamanya, iaitu untuk kekal hidup di dalam badan perumah dan menjangkiti seberapa ramai individu lain. Lantaran jika  diteliti perkembangan kluster Sivagangga di Kedah, negeri ini dulunya adalah kawasan hijau, justeru memang dijangkakan apabila berlaku penularan baharu lazimnya mengundang peningkatan kes yang mendadak. Menurut beliau lagi, dalam teori epidemiologi, masyarakat yang berada dalam kawasan atau zon hijau akan 'complacent' (selesa), maka aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tidak begitu diambil berat. Maka, lebih mudah penularan jangkitan berlaku memandangkan COVID-19 merebak menerusi titisan air, khususnya apabila dalam persekitaran sempit dan tertutup. Sehingga kini, penyelidik masih belum mengetahui mengapa mutasi D614G mengakibatkan virus menjadi lebih senang merebak. Ini bermakna masyarakat perlu berwaspada dan lebih berhati-hati kerana virus COVID-19 dengan mutasi D614G telah terbukti dikesan di Malaysia. Kajian di United Kingdom juga menunjukkan mutasi D614G mudah merebak, namun tidak menyebabkan komplikasi kesihatan yang serius. Saintis turut bimbang bahawa SARS-CoV-2 iaitu virus yang menyebabkan COVID-19, akan mengalami mutasi dan berupaya berjangkit daripada manusia kepada haiwan dan kemudian menjangkiti manusia semula.

Selain itu, jangkitan kali kedua juga boleh berlaku kalangan mereka yang pernah dikesan positif dijangkiti pandemik COVIC-19. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa tiada bukti bahawa orang yang diuji positif COVID-19 kebal dan terlindung dari jangkitan semula atau jangkitan kali kedua kerana tidak ada bukti yang cukup mengenai keberkesanan imuniti yang dimediasi oleh antibodi untuk menjamin ketepatan "pasport kebal" atau "sijil bebas risiko." Natijahnya, individu yang pernah dijangkiti pandemik ini tidak harus menganggap bahawa mereka kebal atau dilindungi terhadap jangkitan kali kedua, justeru jangan sekali-kali mengabaikan nasihat kesihatan awam kerana mereka berupaya meningkatkan risiko penyebaran berterusan kepada individu lain.

Walaupun ada tanda-tanda bahawa wabak COVID-19 semakin stabil di Malaysia, pembukaan sempadan Malaysia-Singapura mulai 17 Ogos dikhuatiri berpotensi meningkatkan jangkitan kes dalam negara jika tidak ditangani dengan sebaiknya. Maka tidak menghairankan jika negara seluruh dunia masih meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi ancaman wabak dengan membuat saringan ketat kesihatan di pintu masuk seperti lapangan terbang, pelabuhan dan sempadan bagi memastikan sebarang jangkitan awal dapat dikesan melalui ujian diagnostik, pengesanan kes dan tindakan kuarantin dapat dilakukan. Bermula daripada kes Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), WHO pada tahun 2005 telah mewartakan undang-undang antarabangsa, iaitu International Health Regulations (IHR) untuk melindungi nyawa manusia dan hidupan daripada ancaman penyakit yang boleh merebak secara meluas melalui laluan dan pintu antarabangsa. Keadaan dan situasi wabak di tempat lain di dunia masih serius seperti di Amerika Syarikat dan India, sejajar dengan itu saringan kepada warga asing yang masuk ke negara ini melalui laluan dan pintu antarabangsa perlu diperketatkan bagi mengelakkan potensi jangkitan kepada warganegara.

 

JANGAN LEKA DAN SELESA

Ujian klinikal vaksin COVID-19 telah bermula, namun menurut WHO ia memerlukan sekurang-kurangnya 12 hingga 18 bulan sebelum vaksin tersebut dapat digunakan. Justeru, langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya perlu dilaksanakan secara berterusan manakala masyarakat dinasihat terus mengamalkan peringatan yang sering ditekankan oleh KKM sebagai satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian iaitu mengelakkan 3S dan mengamalkan 3W.Menurut penyelidikan University of Hong Kong (HKU), mata adalah laluan penting bagi COVID-19 masuk ke dalam tub uh manusia. Kajian itu mendapati penyebaran virus COVID-19 melalui cara itu 100 kali lebih tinggi daripada SARS dan selesema burung (H5N1) dalam dua lubang mulut yang diuji oleh pakar kesihatan awam. Maka, amalan mudah seperti kerap mencuci tangan sangat penting diamalkan kerana kajian itu menguatkan nasihat kepada orang ramai supaya tidak menyentuh mata dan mencuci tangan secara berkala untuk mengelakkan jangkitan.

 Banyak negara kini terjejas dengan wabak COVID-19 dan sedang bergelut untuk mengekang penularan virus itu, oleh itu WHO menyarankan selagi vaksin belum ditemui, semua negara mesti mematuhi arahan IHR dan melakukan tindakan sewajarnya pada peringkat negara masing-masing, bagi mencegah penularan pandemik COVIC-19 dan melindungi rakyat daripada bahaya penyakit dan komplikasinya. Walaupun Malaysia dipuji kerana berjaya membendung wabak melalui langkah pemantauan aktif, pengesanan awal, pengasingan dan pengurusan kes serta pencegahan penyebaran jangkitan coronavirus, janganlah kita leka, alpa dan merasa selesa kerana kita masih belum menang sepenuhnya dalam melawan pandemik COVIC-19 yang ganas ini! Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menegaskan bahawa pandemik init akan terus semakin buruk, melainkan orang ramai berdisiplin mengamalkan penjarakan sosial, membasuh tangan, memakai pelitup muka dan tidak keluar rumah jika sakit.Jika semua langkah ini gagal dipatuhi sepenuhnya, maka tidak mustahil perintah berkurung, dan larangan perjalanan akan kembali menghantui penduduk Malaysia.

 

Prof. Madya Dr Haliza Abdul Rahman
Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia
Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
dr.haliza@upm.edu.my 

Tarikh Input: 25/08/2020 | Kemaskini: 25/08/2020 | nm_aini

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXDdXAV~