KETAGIHAN TELEFON PINTAR | INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
» ARTIKEL » KETAGIHAN TELEFON PINTAR

KETAGIHAN TELEFON PINTAR

Artikel asal sebelum diterbitkan dalam Harian Metro dengan suntingan pada 18 Ogos 2020

Oleh Akmar Hayati Ahmad Ghazali

Penggunaan telefon pintar sudah dianggap sebagai barangan keperluan kerana ia bukan saja medium komunikasi sebaliknya menjadi tempat untuk mengetahui maklumat semasa, produktiviti tugasan harian selain komunikasi antara individu sehingga kepada kelompok besar. Pada hari ini juga bukan menjadi kehairanan apabila kita melihat kanak-kanak sudah memegang telefon pintar mungkin untuk menonton kartun atau sebagainya malah bukan satu perkara pelik murid di peringkat sekolah rendah sudah memiliki telefon pintar.

Ia tidak dinafikan bahawa telefon pintar ini memudahkan serta meluaskan jaringan komunikasi. Jika dahulu lalu, telefon hanya untuk panggilan saja, kini menerusi telefon kita boleh melaksanakan persidangan video, menghadiri seminar atas talian dan pelbagai kemudahan lain lagi. Menghantar mesej, mencari maklumat, merakam suara dan mengambil gambar dianggap biasa oleh pengguna telefon pintar pada hari ini. Mungkin satu hari nanti melalui kecanggihan sistem teknologi, mesej yang dihantar berubah seolah-olah pengirim berada di hadapan penerima yang menyebabkan pengguna semakin obses dan ketagih menggunakannya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaporkan bahawa terdapat peningkatan peratusan pengguna Internet dari 76.9 peratus pada 2016 menjadi 87.4 peratus pada 2018. Tinjauan ini mendapati bahawa rata-rata, pengguna menghabiskan 6.6 jam dalam talian sehari melayari Internet antaranya melalui medium telefon pintar. Persoalannya, mengapakah pengguna menghabiskan masa selama itu dengan telefon pintar? Adakah wujud ketagihan terhadap telefon pintar?

Kajian menunjukkan sekiranya pengguna kerap menggunakan telefon pintar lebih dari satu jam sehari dan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan psikologi, maka ia dianggap satu ketagihan. Hakikatnya, ketagihan terhadap telefon pintar ini berkait rapat dengan psikologi seseorang.

Pengguna yang mempunyai kecenderungan sosial yang tinggi cenderung menggunakan telefon pintar dengan lebih kerap untuk melayari media sosial. Namun begitu, ketagihan itu boleh dikawal sekiranya kekerapan dipengaruhi faktor ingin bersosial dan mengekspresikan diri seiring dengan perkembangan semasa.

Sewaktu krisis wabak Covid-19 umpamanya dan rakyat diarah mematuhi peraturan kawalan pergerakan (PKP), ketika inilah kuasa telefon pintar terserlah. Penulis percaya, ketika ini telefon pintar dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya bagi memenuhi keperluan mendapatkan maklumat yang berkaitan serta meluaskan pengetahuan dan kesedaran mengenai sesuatu isu.

Pada asasnya terdapat dua faktor yang mendorong pengguna menjadikan telefon pintar sebagai sumber maklumat. Telefon pintar mampu memperkayakan idea pengguna dan memperagakan sesuatu keadaan secara lebih simbolik yang akhirnya berupaya menarik sensitiviti pengguna. Ini bermakna, telefon pintar mengukuhkan lagi maklumat yang sedia ada dalam diri pengguna dan akhirnya mengikat mereka agar terus kekal menggunakan telefon pintar.

Pada masa yang sama, faktor keperluan pengguna terhadap gajet seperti keperluan kognitif, afektif, peribadi, sosial dan keperluan melepaskan perasaan turut meningkatkan kadar penggunaan telefon pintar. Hakikatnya, telefon pintar amat berkuasa mempengaruhi pengguna.

Prof. Madya Dr. Akmar Hayati Abdul Ghazali
Ketua
Laboratori Generasi Siber
Institut Pengajian Sains Sosial
Universiti Putra Malaysia
akmar@upm.edu.my

Tarikh Input: 25/08/2020 | Kemaskini: 25/08/2020 | nm_aini

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENGAJIAN SAINS SOSIAL (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXDcVAS~