Menjelang hari Belia pada Mei 2024, penulis mengimbau apa yang berlaku pada bulan pada 21 Ogos 2023 di mana Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek telah melancarkan modul Penghayatan Hadith 40 oleh Imam Nawawi. Modul tersebut bertujuan untuk membolehkan guru dan pelajar memahami serta menghayati nilai serta pengajaran baik yang terkandung dalam himpunan hadith yang terdapat di dalamnya. Sebaik sahaja dilancarkan ianya mendapat tentangan dari beberapa parti politik dan NGO yang bukan Islam. Bagi penulis bantahan yang dikemukakan adalah kerana mereka tidak tahu dan risau sekiranya ia akan menjejaskan kerukunan pelbagai kaum ataupun hak mereka sebagai penganut agama lain di Malaysia. Sebenarnya penganut agama lain seharusnya bersyukur dan berlapang dada kerana ajaran yang baik akan menghasilkan individu yang berakhlak serta menghormati hak serta keperluan individu lain. Apapun, kerisauan ini perlu disusuli dengan pencerahan dari pelbagai pihak yang faham dan arif berkaitan hadith 40 ini. Maklumat yang salah pastinya akan menimbulkan rasa tidak senang kepada yang kurang faham dan ini termasuklah mereka yang beragama Islam itu sendiri.
Apa yang diketengahkan oleh Yang Berhormat Menteri merupakan satu aspirasi murni bagi melahirkan generasi Islam yang jelas dan faham akan agama yang dianuti. Ia tidak seharusnya menjadi kebimbangan kepada penganut agama lain kerana kefahaman yang jelas berkaitan agama yang dianuti akan melahirkan generasi muda yang cakna dengan keperluan mereka yang berbeza dari mereka dan juga peka akan alam sekitar di mana mereka berada. Modul hadith 40 yang dibangunkan adalah selari dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu kerajaan mengambil inisiatif melalui Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) untuk menerbitkan semula himpunan hadis 40 Imam Nawawi bagi diedarkan di seluruh sekolah. Tujuan Perdana Menteri adalah jelas; sekiranya penganut agama Islam jelas akan teras yang menjadi rujukan umat Islam dalam kehidupan seharian mereka iaitu Al Quran dan hadith, kehidupan mereka akan lebih teratur dan terurus.
Perkara ini mengingatkan penulis apa yang penulis fikir dan bincangkan bersama-sama kawan yang berlainan agama sewaktu penulis kembali dari England selepas melanjutkan pengajian di peringkat ijazah falsafah, di mana kami berbincang mengenai kefahaman agama yang dangkal akan melahirkan extremist dan terrorist yang amat merbahayakan sesebuah negara. Pada penulis dan rakan-rakan, walau apapun agama yang dianuti, setiap individu tersebut perlu mendapat kefahaman yang betul berkaitan agama yang dianuti. Ini bagi memastikan mereka tidak terpesong dari ajaran agama yang kebanyakannya mempunyai nilai sepunya dan bermatlamatkan kebaikan serta nilai murni.
Dalam konteks Hadith 40, Ia jelas dalam salah satu hadith yang berbunyi "Tidak beriman salah seorang di antara kamu hingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri dan hampir tiga suku daripada 40 hadith tersebut mengenengahkan tentang akhlak baik. Antaranya, Rasulullah shallallahu`alaihi wa sallam bersabda: Janganlah kalian saling dengki, saling menipu, saling marah dan saling memutuskan hubungan. dan janganlah kalian menjual sesuatu yang telah dijual kepada orang lain. Dalam hadith ini perasaan dengki, marah, tidak amanah dalam urusan seharian serta memutuskan silaturahim amat ditegah. Perasaan dengki dan marah ini juga dikenali sebagai sifat mazmumah yang perlu dibersihkan dari diri manusia dan dijelaskan oleh Imam Al Ghazali salah seorang ahli psikologi Islam atau ilmu jiwa dalam buku Arbain Fil Usuluddin. Dari sudut psikologi barat, Sigmund Freud menjelaskan bahawa sifat negatif ini dikenali sebagai Thanatos yang membawa unsur kematian dan menghancurkan sekiranya ia dibiarkan tanpa kawalan boleh membawa kepada kerosakan kepada diri individu tersebut.
Hadith seterusnya menyentuh tentang keperluan membantu serta sensitif dengan keperluan orang lain serta balasan baik hasil dari perbuatan baik tersebut: Siapa yang menyelesaikan kesulitan seorang mu’min dari berbagai kesulitan dunia, niscaya Allah akan memudahkan kesulitan di hari kiamat dan siapa yang memudahkan orang yang sedang kesulitan niscaya akan Allah mudahkan baginya di dunia dan akhirat. Dari segi psikologi, secara alaminya manusia akan berada dalam keseimbangan atau homeostasis apabila tingkah laku mereka selari dengan tujuan mereka dijadikan dan manusia juga secara fitrah mengharapkan tingkah laku baik di balas dengan baik sepertimana yang di ketengahkan di dalam hadith ini. Melihat dari sudut ini, kefahaman serta penterjemahan hadith ini dalam tingkah laku sebenar akan membantu membentuk individu dengan karakter yang seimbang. Justeru kefahaman berkaitan akhlak baik sejak awal kanak-kanak akan membantu mereka membuat pilihan yang baik dalam kehidupan mereka.
Pembentukan modul hadith 40 ini juga bagi mengukuhkan rukunegara yang pertama iaitu; Kepercayaan kepada tuhan. Empat teras rukunegara yang lain jugaselaras dengan modul yang dirangka dan harus difahami dan diterjemahkan dalam bentuk tingkah laku. Antara karektor yang boleh diterjemahkan melalui penghayatan modul hadith 40 dan selaras dengan rukunegara adalah, tingkah laku membantu serta menghormati setiap individu merentas kepercayaan dan warna kulit, menjaga serta mendahulukan hubungan silaturahim berbanding kepentingan diri, dan juga beradap sopan dalam menyampaikan idea ataupun hujah serta berdisipin dalam melaksanakan setiap amanah yang diberikan. Ini adalah contoh karektor yang boleh dihasilkan dari pemahaman berkaitan modul tersebut dan sangat terkait dengan perpaduan terutamanya dalam kalangan Masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia.
Kepercayaan tanpa pembuktian tidak akan menghasilkan jiwa yang merdeka, justeru itu guru yang memberi didikan kepada anak- anak di sekolah juga perlu diberikan latihan yang mencukupi agar mereka lebih kreatif dalam menyampaikan modul tersebut. Penulis juga percaya pihak KPM telah cukup bersedia dengan latihan yang bersesuaian untuk para guru yang bakal menyampaikan modul ini nanti.Guru selaku pembimbing utama dalam pelaksanaan modul harus jelas akan objektif agar konsep serta nilai yang hendak disampaikan benar-benar dapat dijiwai oleh para pelajar. Selain dari itu, sekiranya modul ini dilaksanakan dengan baik ia juga dapat memperbetulkan kesalah fahaman terhadap ajaran Islam oleh orang Islam sendiri dan ini merupakan perkara penting yang harus ditambah baik dari masa ke semasa.
Selain dari pembentukan karakter generasi muda, Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi juga boleh dijadikan garis panduan untuk para guru melaksanakan aktiviti pengukuhan dalam dan luar bilik darjah dan tidak terhad kepada sekadar membaca serta menghafal hadis semata-mata. Adalah menjadi harapan penulis agar modul ini benar-benar diterima dan dihayati oleh semua umat Islam di Malaysia khasnya dan rakyat Malaysia amnya bagi menjamin kerukunan dan keharmonian masyarakat pelbagai agama yang ada di bumi Malaysia yang dicintai ini seterusnya membentuk perpaduan yang kukuh dalam kalangan generasi masa depan Malaysia.
By:
Profesor Dr Haslinda Abdullah
Pengarah,
Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), UPM
Pensyarah di Fakulti Ekologi Manusia.
Date of Input: 25/07/2024 | Updated: 20/01/2026 | nm_aini

Putra InfoPort
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA