PENERUSAN PKP FASA IV SATU LANGKAH BIJAK | INSTITUTE FOR SOCIAL SCIENCE STUDIES
» ARTICLE » PENERUSAN PKP FASA IV SATU LANGKAH BIJAK

PENERUSAN PKP FASA IV SATU LANGKAH BIJAK

**Article published in Bahasa Melayu and no translation in English**
**Article has been edited and published in Sinar Harian date 4 May 2020.**

By Haliza Abdul Rahman

Source : Sinar Harian, 4 May 2020

Pengumuman Perdana Menteri untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan  (PKP) selama dua minggu lagi bagi mengekang penularan Covic-19 di Malaysia disambut dengan pelbagai reaksi oleh masyarakat. Ada yang menyokong langkah ini tetapi ada yang sebaliknya, dengan setiap mereka mempunyai hujahan masing-masing. Ini merupakan fasa ke-4 PKP yang bermula sejak 18 Mac yang lalu. Bagi individu yang kurang bersetuju dengan langkan penerusan PKP ini, antara hujahan mereka adalah, kes jangkitan dan kadar kematian akibat Covic-19 telah menurun dengan ketara jadi PKP wajar ditamatkan apatah lagi PKP ini ‘mengganggu’ kemeriahan sambutan ramadan yang kehilangan serinya kerana ‘ketiadaan’ bazar dan halangan berjemaah bagi solat tarawih. Ada yang menggunakan alasan ekonomi iaitu lebih lama PKP diteruskan ia akan memberi kesan ketara kepada pendapatan sebahagian masyarakat khususnya yang ‘bekerja sendiri’ seperti penjual nasi lemak dan goreng pisang selain menjejaskan ekonomi negara.

 

Namun, penerusan PKP ini adalah satu langkah bijak oleh kerajaan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melihat kepada dua faktor. Pertama faktor luaran, jiran terdekat Malaysia seperti Singapura dan Indonesia sedang bergelut dengan peningkatan kes jangkitan dan kematian akibat Covic-19. Kealpaan kita dalam hal ini  tidak mustahil menyebabkan jumlah kes di negara ini akan kembali meningkat akibat masyarakat bebas bergerak seperti biasa, antaranya melancong ke negara-negara yang dilanda wabak, apatah lagi negara yang boleh dihubungi melalui jalan darat seperti Singapura dan Thailand yang mudah diakses.Faktor dalaman pula adalah ‘tradisi’ dan ‘budaya’ rakyat negara ini yang suka berkumpul sama sesama ahli keluarga, rakan sekerja mahupun jiran tetangga. Penarikan PKP akan mendedahkan masyarakat kepada jangkitan wabak melalui kunjungan dalam skala yang besar dan tidak terkawal antaranya ke bazar ramadan, berjemaah terawih di masjid malahan ke pasar raya untuk persiapan aidilfitri. Ini ditambah lagi dengan budaya balik kampung beramai-ramai, apatah lagi selepas ‘terkurung’ beberapa minggu untuk melepaskan rindu pada ahli keluarga yang lain ditambah lagi dengan sambutan ramadan yang meriah dengan tradisi berbuka puasa bersama ahli keluarga dengan pelbagai juadah enak. Faktor lain yang juga tidak boleh diketepikan adalah kemungkinan wujudnya cluster baru seperti pergerakan besar-besaran pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk pulang ke kampung; jangkitan kalangan warga asing (terdiri dari kumpulan pelancong, pekerja asing, golongan pelarian dan pemohon suaka (asylum seeker) yang mana sehingga 16 April sebanyak 601 kes positif Covic-19 direkodkan iaitu satu jumlah yang tinggi selain, yang paling membimbangkan adalah potensi jangkitan yang daripada mereka yang ‘tiada tanda’ iaitu individu yang dijangkiti namun tidak menunjukkan simptom/gejala. Kesemua ini merupakan ‘bom jangka’ yang bakal meledak jika PKP ditamatkan.

 

Buat masa ini selagi vaksin bersesuaian belum ditemui, PKP adalah kaedah paling berkesan untuk mengekang jangkitan wabak. PKP tahap I dan II misalnya telah berjaya meratakan puncak lengkungan Covic-19 di negara ini dengan kebolehjangkitan dalam komuniti turut mencatatkan pengurangan. RO ('R-Naught'- iaitu kadar kebolehjangkitan) sebelum pelaksanaan PKP adalah kira-kira 3.55, yang mana seorang individu boleh menjangkiti seramai 3.55 orang tetapi dengan perlaksanaan PKP yang berterusan, didapati selepas 14 April kadar RO telah berjaya dikurangkan kepada kurang daripada satu. Justeru, melihat kejayaan daripada ketiga-tiga tahap PKP ini (Fasa I hingga III) ternyata ianya berjaya mengawal dan meratakan lengkungan serta mengawal penambahan kes jangkitan Covic-19 di Malaysia. Maka, langkah melanjutkan PKP sehingga fasa IV ini adalah langkah yang bijak dan selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) agar setiap negara melanjutkan tempoh memerangi Covic-19. Sehingga 17 april, jumlah kumulatif kes jangkitan di seluruh dunia kini melebihi 2.04 juta orang dengan jumlah keseluruhan melebihi 133,354 kematian. Di Malaysia, PKP wajar diteruskan kerana kejayaan cemerlang yang ditunjukkan dalam mengekang wabak, merendahkan kadar kematian selain kadar pemulihan paling tinggi di dunia. Kita sebagai rakyat yang cintakan ini haruslah bersabar sehinggalah kadar jangkitan mencecah sifar atau sekurang-kurangnya pada kadar yang sangat minimum, terkawal dan diyakini selamat untuk kesejahteraan rakyat seluruhnya. Bak kata pepatah “Biar lambat, asalkan selamat” kerana pencegahan wabak ganas ini hanya bergantung kepada ‘kita’ sebagai ‘instrumen’ paling ampuh dan berkesan memutuskan rantaian jangkitan.

 

 

Assoc. Prof Dr Haliza Abdul Rahman
Head of Laboratory 
 Laboratory of Health and Social Wellbeing
Institute for Social Science Studies

Universiti Putra Malaysia
haliza@upm.edu.my 

Date of Input: 04/05/2020 | Updated: 04/05/2020 | nm_aini

MEDIA SHARING

INSTITUTE FOR SOCIAL SCIENCE STUDIES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
SXEZSA6~