WARDEN BEKAS TENTERA DAN POLIS PERKUKUH DISIPLIN MRSM | INSTITUTE FOR SOCIAL SCIENCE STUDIES
» ARTICLE » WARDEN BEKAS TENTERA DAN POLIS PERKUKUH DISIPLIN MRSM

WARDEN BEKAS TENTERA DAN POLIS PERKUKUH DISIPLIN MRSM

Warden Bekas Tentera dan Polis Perkukuh Disiplin MRSM
Oleh: Dzulhailmi Dahalan

Keputusan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk melantik warden sepenuh masa daripada kalangan bekas pegawai tentera dan polis di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) merupakan satu langkah tegas dan berani yang wajar dipuji. Inisiatif ini dilihat sebagai antara strategi terbaik bagi membendung isu disiplin yang semakin membimbangkan, khususnya kes buli dalam kalangan pelajar asrama.

Dalam kenyataan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki baru-baru ini, pelaksanaan akan dibuat secara projek rintis di beberapa MRSM terpilih terlebih dahulu. Pendekatan ini bukan sahaja menunjukkan keseriusan pihak MARA dalam menangani isu tersebut, tetapi juga menunjukkan kebijaksanaan dalam memastikan pelaksanaan itu dikaji keberkesanannya sebelum diperluas secara menyeluruh.

Hakikatnya, masalah buli bukan lagi isu kecil atau terpinggir. Ia telah menjadi masalah nasional yang mencetuskan kebimbangan ramai pihak, termasuk ibu bapa, guru, pengurusan sekolah dan masyarakat secara keseluruhan. Banyak kes yang dilaporkan menimbulkan trauma kepada pelajar yang terlibat, malah ada yang meninggalkan kesan psikologi berpanjangan. Dalam konteks ini, sudah tiba masanya pendekatan konvensional diganti atau diperkasa dengan kaedah luar kotak yang lebih tegas dan berimpak tinggi.

Pemilihan bekas pegawai tentera dan polis adalah berasaskan kelayakan dan kekuatan disiplin yang dimiliki oleh golongan ini. Mereka terlatih dalam aspek kawalan keselamatan, pengurusan konflik, serta mempunyai ketegasan yang tinggi dalam memastikan peraturan dipatuhi. Kehadiran mereka di MRSM boleh memberikan mesej jelas kepada pelajar bahawa sebarang bentuk salah laku, terutamanya buli, tidak akan dikompromi.

Pada masa sama, inisiatif ini juga diiringi oleh kerjasama dengan Persatuan Veteran Tentera dan Bekas Polis bagi mengenal pasti calon-calon yang benar-benar berwibawa untuk menggalas tanggungjawab tersebut. Ini memastikan bahawa pemilihan tidak dibuat secara rambang, sebaliknya berpandukan kriteria profesional yang ketat.

Selain itu, MARA juga menyatakan komitmennya untuk menyediakan garis panduan yang jelas berhubung bidang tugas dan tanggungjawab warden. Ini adalah langkah penting agar peranan mereka tidak disalah erti atau disalah guna. Warden bukan sahaja perlu menjaga keselamatan fizikal pelajar, tetapi juga perlu menjadi ejen pembentukan sahsiah, teladan disiplin dan pembimbing moral.

Namun begitu, peranan warden tidak harus dilihat sebagai "polis asrama" semata-mata. Mereka juga perlu diberi latihan dalam pendekatan psikologi pendidikan, komunikasi berkesan dengan remaja, dan pengurusan emosi. Ini penting untuk memastikan mereka dapat menjalankan tugas secara berhemah, adil dan berperikemanusiaan, selaras dengan matlamat pendidikan holistik yang digariskan oleh MARA.

Falsafah pendidikan MARA yang menekankan keseimbangan jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) perlu dijadikan asas utama dalam pendekatan ini. Warden dari latar belakang keselamatan mungkin mempunyai kekuatan dari aspek jasmani dan disiplin, tetapi mereka juga perlu dilengkapkan dengan kefahaman tentang aspek emosi dan rohani pelajar. Dalam dunia pendidikan hari ini, pendekatan mendidik perlu menggabungkan elemen ketegasan dan empati secara seimbang.

Langkah ini juga mencerminkan kebijaksanaan MARA dalam berani mencuba pendekatan baharu untuk menambah baik sistem sedia ada. Seringkali, apabila masalah buli berlaku, kita cepat menyalahkan pelajar, guru atau pihak sekolah. Tetapi jarang sekali kita melihat perubahan struktur atau peranan secara menyeluruh. Maka, apabila MARA tampil dengan pendekatan ini, ia membuka ruang kepada pembaharuan dalam sistem pengurusan disiplin yang boleh dicontohi oleh institusi pendidikan lain.

Kita juga perlu melihat inisiatif ini dalam konteks jangka panjang. Sekiranya berjaya, ia bukan sahaja akan membantu menghapuskan kes buli, malah mampu membentuk budaya disiplin yang kukuh di MRSM. Pelajar akan membesar dalam persekitaran yang lebih selamat dan teratur, seterusnya menyumbang kepada pencapaian akademik dan pembangunan peribadi yang lebih seimbang.

Dalam konteks masyarakat hari ini yang semakin mencabar, pelajar perlu dibimbing bukan sahaja untuk menjadi cemerlang dalam akademik, tetapi juga berakhlak, berintegriti dan mampu memimpin. Justeru, pelantikan warden yang berwibawa, tegas dan dihormati ini boleh menjadi sebahagian daripada sistem sokongan yang diperlukan untuk membentuk pelajar MRSM sebagai modal insan unggul negara.

Sudah tentu, pelaksanaan inisiatif ini perlu dipantau dan ditambah baik dari semasa ke semasa. Input daripada ibu bapa, guru dan pelajar sendiri perlu diambil kira bagi memastikan pendekatan ini diterima baik dan benar-benar memberi kesan positif. Ketelusan dalam pelaksanaan dan kebertanggungjawaban dalam melaksanakan tugas juga perlu dititikberatkan supaya tidak timbul isu salah guna kuasa atau penyalah tafsiran terhadap peranan warden.

Secara keseluruhannya, keputusan MARA ini adalah satu pendekatan berani yang menepati keperluan semasa. Ia bukan sahaja menjawab keresahan masyarakat terhadap isu buli di sekolah berasrama, tetapi juga memberi harapan baharu terhadap pembentukan sistem disiplin yang lebih mampan dan berkesan. Jika dilaksanakan dengan penuh hikmah dan ketelusan, MRSM boleh menjadi model institusi pendidikan bebas buli yang lain untuk dicontohi.

Date of Input: 21/04/2025 | Updated: 20/01/2026 | nm_aini

MEDIA SHARING

INSTITUTE FOR SOCIAL SCIENCE STUDIES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691872
Tidak berkaitan/0000
Z, (06:21:28pm-06:26:28pm, 08 Mar 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]